Najib: Malaysia Menolak Sekeras-kerasnya Usaha AS Jadikan Baitulmaqdis Ibu Negara Israel

Malaysia menolak sekarang-kerasnya usaha Amerika Syarikat (AS)menjadikan Bailtulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila pun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu umat Islam tidak akan menerima cadangan AS itu yang mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci umat Islam yakni Baitulmaqdis untuk dijadikan sebagai ibu negara Israel.

“Apabila kita dikejutkan dengan cadangan Amerika Syarikat mengiktiraf satu daripada tiga Tanah Suci umat Islam, yakni Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.

“Saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana sahaja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya, agar dunia mendengar gema suara Umat Islam Malaysia, kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israek sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib turut memberitahu, UMNO tidak pernah dan tidak akan sesekali berkompromi dengan apa juga hal membabitkan penghinaan keatas kesucian dan tingginya agama Islam serta syiarnya, bukan saja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelosok dunia

Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Trump dilaporkan sebagai berkata, tindakan itu adalah ‘langkah yang sepatutnya telah lama dilakukan dalam usaha ‘mengembalikan’ keamanan di Asia Barat.

Selain itu, Trump juga memaklumkan untuk memindahkan memindahkan pejabat kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Namun pengumuman itu mencetuskan kemarahan pemimpin dunia. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud turut memberikan amaran bahawa langkah Amerika Syarikat membuka kedutaan di Baitulmaqdis hanya akan menyalakan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Malah ketika Raja Salman menghubungi Trump, beliau memberi amaran bahawa pengumuman tersebut hanya akan menjejaskan rundingan damai antara Palestin-Israel serta meningkatkan ketegangan di kawasan berkenaan.

Sementara Menteri Luar Turki, Mevlüt Çavuşoğlu, memaklumkan beliau telah memberitahu Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, bahawa Washington melakukan kesilapan besar dan keputusan itu dibantah seluruh dunia.

Manakala Lubnan pula memberitahu keputusan terbabit telah mengancam kestabilan dunia dan Qatar pula menyifatkan keputusan Trump itu sebagai hukuman mati kepada usaha rundingan damai yang dijalankan sejak berdekad lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *