Video : Kerajaan Selangor Kurang Senang Jualan Ikan Murah – Jamal

KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan kerajaan Selangor di bawah pimpinan pembangkang, Datuk Seri Azmin Ali kurang senang dengan jualan ikan murah yang dilakukan pihaknya untuk rakyat negeri itu.

Beliau berkata, dengan hasil jualan ikan itu telah mendapat sambutan yang baik dari rakyat negeri itu.

“Sambutan jualan ikan cukup baik daripada orang ramai di kebanyakan lokasi yang dibuat di negeri selangor.

“Apabila ia mendapat sambutan datipada orang ramai, kerajaan yang memerintah negeri selangor ini tidak senang dengan apa yang saya lakukan sehingga nak ugut, nak angkat, saman dan sebagainya,”katanya.

Namun menurutnya, ia tidak menghalang semangat mereka untuk meneruskan tujuan baik dan niat murni tersebut.

“Kami akan kerap melakukan program seperti ini bukan sahaja pada sabtu dan ahad namun akan dilakukan sepanjang seminggu,”katanya.

Dalam pada itu, Jamal berkata, kerajaan negeri turut tidak berpuas hati dengan sikap yang ditunjukkannya terhadap kebaikan yang anjurkan oleh NGO BN (Barisan Nasional) kepada rakyat negeri Selangor.

“Inilah sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri. Segala kebaikan yang dibuat oleh pihak kami dicuba halang. Sepatutnya Azmin memberikan sokongan terhadap program ini dengan memberi tempat bukan nak menghalang seperti ini.

“Tujuannya adalah untuk membantu rakyat kerana ketika ini kita tahu ikan di pasaran terlalu tinggi,”katanya.

Sebelum ini, Jamal menjual ikan pada harga murah kepada orang ramai dengan mesej mahu kakitangan kerajaan dan pihak terlibat dalam urusan bekalan ikan membendung masalah peningkatan harga ikan di negara ini.- SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *