Ranking : Saya Dah Tak Kisah, Malas Ambil Tahu

“TAK kisahlah berapa pun rankingnya, saya malas nak ambil tahu.”

Itu luahan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh ketika diminta mengulas kedudukan ranking terbaru Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-174 dunia, lapor Sinar.

Mengakui sedih melihat kedudukan tersebut, namun Santokh seolah-olah sudah ‘penat’ untuk memberi nasihat dan hanya mahu tunggu apa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan lakukan.

“Buat apa kita nak fikir, pening kepala pasal ranking sedangkan mereka sendiri pun tak berusaha nak tingkatkan mutu pasukan negara.

“Macam saya cakap, situasi ini akan berterusan kalau pemain itu juga hanya bermain untuk duit, bukan untuk negara.

“FAM bukannya mahu mendengar nasihat saya atau pemain lama, sebaliknya jika bersuara silap-silap kami kena balik. Baik kami diam saja dan tengok apa mereka mahu lakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Malaysia jatuh empat anak tangga berbanding ke-170 bulan lalu selepas tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan 4-1 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November lalu.

Ia juga ranking terburuk skuad Harimau Malaya sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden FAM pada 25 Mac lalu dengan Vingada juga masih belum meraih  kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Selain itu, Santokh bagaimanapun enggan menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya berharap semua pihak terutama FAM, membuka mata seluas-luasnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

“Saya kecewa kerana kita tidak layak berada di kedudukan itu, tapi kita tunggu apa penyelesaian pihak tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *