PPBM Akan Terima Kesan Buruk Jika Masih Tak Ikut Perlembagaan

Buruk padahnya jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mengikut perlembagaan yang telah digubalnya dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

ROS telah memberi kebebasan kepada parti untuk menggubal perlembagaan selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan ia seharusnya dipatuhi oleh setiap parti yang mendaftar.

Peguam yang juga pakar undang-undang, Mohd Zambri Mohd Idrus bekata, jika sesebuah parti mengikut garis panduan yang terkandung di dalam perlembagaan parti, tiada apa yang perlu dirisau dan dikhuatirkan.

“Saya mengambil UMNO sebagai contoh. Pada perhimpunan agung UMNO, perwakilan yang hadir akan memilih pucuk pimpinan. Begitu juga dengan DAP, (dalam perlembagaan parti ) mereka telah bersetuju perwakilan yang hadir ke mesyuarat agung untuk memilih ke 20 orang Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), kalangan mereka yang akan memilih.

“Adakah dihalang oleh ROS? tidak…ROS memberi kebebasan kepada parti selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan negara. Tetapi, jika perlembagaan telah digubal dan diluluskan ROS, parti wajib untuk patuhi,tiada sebab untuk tidak patuhi, jika tidak…buruk akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi salah seorang panel bual bicara bertajuk Krisis Perlembagaan PPBM : Apa Kesudahannya, pada Khamis malam.

Yang turut menjadi ahli panel ialah Pengasas PPBM, Kamarul Zaman Habibur Rahman yang tidak lagi menyertai parti itu, bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohamad Taufik Abas dan wartawan AgendaDaily, Helme Hanafi bertindak selaku moderator.

Bertanya adakah Tun Mahathir Mohamd, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menjadi pimpinan tertinggi dalam PPBM akan mendapat platform untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Mohd Zambri berkata segalanya tertakluk kepada keputusan ROS.

“Segala keputusan (PPBM bertanding atau tidak) ia berdasarkan kepada tindakan lanjut ROS. Saya yakin sehingga ke tahap ini, ROS sedang menjalankan siasatan menyeluruh. Jika mencapai ke tahap yang tidak boleh diselamatkan, kemungkinan (tidak bertanding) itu ada.

“Namun, jika ROS bertindak lebuh jauh..dengan membatalkan PPBM, sudah pasti mereka tidak boleh bertanding. Jadi ia bergantung kepada keputusan ROS,” katanya.

Selain itu, Mohd Zambri turut berkata, masalah yang dihadapi oleh PPBM berikutan isu perlembagaan adalah kerana aduan daripada ahli parti itu sendiri dan tiada kena mengena dengan pihak lain.

“Merujuk kepada isu perlembagaan PPBM ini. Siapa yang buat aduan? adalah pihak ketiga? adakah dari parti lain? ahli PPBM sendiri yang hadir ke ROS mengadu tidak buat perhimpuna agung dan sebagainya. Aduan datang daripada ahli parti sendiri.

“Apakah tindakan ROS? adakah mereka akan koyak kertas aduan? sama sekali tidak..kerana ROS akan membuat siasatan, dan menjalankan tugas mereka.Mereka akan teliti setiap aduan yang dibuat kerana dari segi perlembagaan, ahli ada hak untuk kemukakan aduan.

“Itu yag berlaku kepada PPBM masa kini, dalam tempoh ini, semua aduan yang dibuat adalah daripada ahli parti sendiri,” katanya.

Tambahnya, setiap permohonan parti, ROS akan merujuk kepada perlembagaan parti terlebih dahulu kerana ia merupakan perkara yang palig penting dan berada dikedudukan teratas seperti perlembagaan negara yang harus dipatuhi setiap rakyat Malaysia. – Agenda Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *