Kubur Pemimpin Tempatan Digali

KOTA BHARU – Kubur enam pemimpin Melayu daerah Hulu Besut yang bersemadi selama 72 tahun di Kem Kijang, Jalan PCB, di sini digali pagi tadi.

Kubur yang digali semula membabitkan Penggawa Wan Embong Wan Zainal, Yatim Ahmad (Imam Masjid Kampung Teluk) dan empat ketua kampung, iaitu Karim Abd Samad (Lepan Kejor), Husain Abdullah (Dengir), Othman Mamat (Bekok) serta Ismail Ahmad (Teluk), lapor BH.

Pengerusi Jawatankuasa majlis pengebumian semula berkenaan, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, berkata kubur digali sedalam 1.5 meter bagi mencari tulang sebelum dibawa pulang ke Hulu Besut untuk dikebumikan semula.

Selepas tiga jam operasi menggali kubur yang terletak dalam kawasan kolej, katanya, mereka menemui beberapa serpihan tulang yang dipercayai pemimpin berkenaan yang menjadi mangsa pembunuhan tentera Jepun pada 1945.

Beliau berkata, perancangan untuk menggali semula kubur semua pemimpin tempatan itu bermula sejak dua tahun lalu.

“Saya membuat perjumpaan dengan ahli keluarga yang mewakili semua pemimpin tempatan itu dan kami bersepakat untuk mengalihkan kubur mereka ke Hulu Besut.

“Mereka sebelum ini dikebumikan di tanah awam dan kami rasa bersalah kerana terus membiarkannya. Kami merancang untuk membawa pulang semula tulang mereka untuk dikebumikan di kampung asal,” katanya, di sini hari ini.

Che Ku Abdul Rahman berkata, niat asalnya untuk mengebumi tulang enam pemimpin tempatan itu di kubur berasingan namun, apabila dirujuk kepada Pejabat Kesihatan, pihaknya diberitahu agak mustahil untuk mengenal pasti Asid Deoksiribonukleik (DNA) tulang itu.

Katanya, keputusan diambil untuk mengebumikan tulang mereka dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut petang ini.

Seorang waris yang juga cicit Penggawa Wan Embong Wan Zainal, Wan Kamal Azmi Wan Hassan, 52, berkata sebelum ini mereka sekeluarga kerap datang melawat kubur itu dan mengadakan tahlil.

“Begitu juga setiap kali Hari Raya, ramai ahli keluarga datang membersihkan kubur walaupun agak jauh.

“Walaupun penemuan tulang ini sedikit, kami reda dan agak lega kerana kubur mereka nanti sudah ‘kembali’ ke kampung halaman,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *