Isu Adun PKR Tidak Diberi Kuasa Perakui Borang Permohonan Pampasan Banjir

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Kawasan Pulau Betong, Datuk Dr Sr Muhammad Farid Saad berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengetepikan atau menghalang ADUN PKR-Kebun Bunga YB Cheah Kah Peng untuk memperakui borang permohonan pampasan banjir adalah satu tindakan yang sangat tidak demokratik, dan tidak menghormati pilihan rakyat.

Beliau berkata, ia perkara yang janggal.

“Saya tidak hairan jika ADUN-ADUN BN tidak diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tapi bila ADUN PKR sendiri tidak dibenarkan juga ia sesuatu yang agak janggal. Bukankah PKR adalah sebahagian dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?

“Kenapakah tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh YB Cheah Kah Peng sebagai wakill rakyat Kebun Bunga diserahkan kepada ADUN DAP-Pulau Tikus pula?

“Apakah DAP Pulau Pinang sedang mengatur langkah untuk mengambil alih kerusi-kerusi DUN yang kini diwakili oleh PKR pada PRU ke-14?,”soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pada pra PRU ke-13 dulu, ada cakap-cakap yang mendakwa DAP akan cuba mengambil alih dan bertanding di beberapa kerusi DUN yang diwakili PKR supaya DAP ada 21 kerusi DUN atau majoriti mudah di DUN Pulau Pinang.

“Mungkinkah agenda DAP itu kini dihidupkan semula?

“Sekiranya DAP ada majoriti mudah di DUN, DAP sudah tidak perlukan parti-parti lain untuk membentuk Kerajaan. Mungkinkah DAP sedang merangka pelan atau strategi untuk mendapatkan kuasa mutlak (absolute power) di Pulau Pinang? PKR dan PAN akan jadi seperti ‘melukut di tepi gantang’ sekiranya DAP ada 21 kerusi di DUN Pulau Pinang,”katanya.

Soalnya lagi, mungkinkah DAP sudah merasakan mereka cukup kuat untuk perintah Pulau Pinang maka sudah tidak perlukan rakan-rakan yang membantu mereka mula memperoleh kuasa pada 2008?

“Kerajaan DAP Pulau Pinang kini juga sudah tidak mengendahkan suara-suara NGO dan rakyat Pulau Pinang yang membantu kemenangan DAP pada 2008.

“Jelas pentadbiran KM Lim Guan Eng tidak boleh dikritik. Suara mengkritik dianggap suara menentang. Mungkin itulah yang berlaku ke atas rakan saya YB PKR-Kebun Bunga Cheah Kah Peng; diketepikan kerana mengkritik Ketua Menteri dalam Sidang DUN Pulau Pinang. Sebelum ini, YB PKR-Penanti Norlela Ariffin juga diberi tekanan apabila dia menimbulkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu dalam DUN Penanti,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *