Impian Sherry Jadi Nyata

Siapa sangka selepas bertahun-tahun mencuba nasib sebagai pelakon dan pengacara, kini Sherry Alhadad diberi peluang mengendalikan program bual bicaranya sendiri, The Sherry Show.

“Siapa sangka, tiga tahun lalu ketika baru berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan, saya hanya mampu berangan-angan. Alhamdulillah, impian saya menjadi kenyataan dan direalisasikan oleh TV3 menerusi The Sherry Show,” katanya.

Menurut Sherry, semua usahanya terbayar apabila melihatkan pencapaiannya setakat ini.

“Saya percaya pada rezeki. Selepas tamat belajar di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), saya bukanlah terus mendapat pekerjaan, sebaliknya perlahan-lahan membina nama.

“Kini saya sendiri dapat melihat hasilnya dan anggap peluang dan kepercayaan ini juga sebagai rezeki buat saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia mendapat kebebasan sepenuhnya dalam mengendalikan program santai yang menggantikan The Sarimah Show itu, ini jawapan Sherry:

“Saya diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menggunakan kreativiti dan memastikan program ini tidak menjadi bosan.

“Saya juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh dituturkan untuk memastikan setiap pertuturan dan aksi tidak menyentuh sensitiviti sesiapa,” katanya.

Selain menghibur, The Sherry Show juga turut menyajikan beberapa informasi menarik buat penonton.

“Saya tak mahu sekadar menghiburkan penonton, sebaliknya ingin menjadi inspirasi buat semua orang dan menyampaikan mesej berguna menerusi program ini,” katanya.

The Sherry Show mula ditayangkan pada 19 November lalu pada jam 10 malam dan bermula 9 Disember ini, ia akan ditayangkan pada setiap Sabtu, pada waktu sama.

Ditanya mengenai impiannya yang belum tercapai, Sherry ada menyimpan cita-cita besar untuk menjadikan seni sesuatu yang lebih daripada jangkaan masyarakat.

“Dari dulu, saya teringin untuk ke sekolah dan menggunakan teater sebagai wadah dalam pendidikan.

“Ketika bersekolah, saya ada juga rasa malas untuk belajar, tapi apabila masuk dalam dunia teater, pembelajaran jadi lebih seronok dan mudah difahami,” katanya.

Selain itu, pelakon dan pengacara ini juga menyimpan cita-cita untuk membuka sekolah teaternya sendiri.

“Selain menjadi medan tempat untuk generasi muda belajar teater, ia juga boleh digunakan sebagai platform untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial,” katanya.

Lebih aktif mengacara berbanding lakonan, Sherry akui rindu untuk beraksi melakonkan watak dalam drama.

“Memang saya sangat rindu untuk kembali berlakon. Kali terakhir saya membintangi drama Misteri Wan Peah yang pernah ditayangkan di TV3,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *