BTS Pegang Rekod Paling Berpengaruh

Fenomena kumpulan dari Korea Selatan, BTS nampaknya semakin menjadi-jadi selepas muncul membuat persembahan di American Music Awards (AMAs), baru-baru ini.

Terbaru, kumpulan dianggotai Jin, J-Hope, RM, Suga, Jimin, V, dan Jungkook itu disahkan Guinness World Records (GWR) sebagai pemegang rekod ‘trending’ paling tinggi di Twitter.

Pengumuman itu dibuat syarikat pengendali rekod terbesar dunia berkenaan dalam satu kenyataan rasmi berdasarkan pengumpulan data terhadap kumpulan itu di media sosial terbabit.

Kumpulan yang berpangkalan di Seoul itu kini secara rasmi memegang dua rekod iaitu paling banyak disebut selain kumpulan muzik paling berpengaruh di Twitter.

Bagi mengesahkan rekod berkenaan, syarikat terbabit melihat kepada jumlah retweet yang diterima akaun untuk tweet. Menurut GWR, kumpulan itu menerima retweet secara purata 252,200 untuk setiap tweet sehingga setakat ini.

Sebagai perbandingan, anggota One Direction yang kini bergerak solo iaitu Harry Styles menerima retweet sebanyak 165,473 secara purata.

Bukan setakat akaun utama, dua lagi akaun rasminya iaitu bts_love_myself yang diwujudkan sebagai kerjasama bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) meraih 103,290 retweet. Manakala, akaun bts_bighit dengan 72.739 retweet.

Dengan kubu peminat yang begitu luar biasa dan sokongan bak halilintar, pencapaian BTS tidak dinafikan berjaya mengatasi ramai nama dominan di seluruh dunia.

Pada persembahan menerusi lagu DNA kumpul itu di AMAs, ia turut menjadi faktor ledakan nama BTS di media sosial. Ternyata, acara berprestij berkenaan membuka mata ramai peminat baru pada kumpulan itu.

Bukan setakat penonton di rumah yang bercerita, bahkan beberapa nama besar lain turut menyebut kumpulan itu di media sosial. Mereka termasuk bintang muda yang menjadi kegilaan ramai iaitu Shawn Mendes.

Kebanyakan artis Hollywood menzahirkan rasa kagum dengan kumpulan terbabit kerana fenomenanya yang luar biasa. Begitu juga tenaga mereka di pentas nampaknya berjaya membuatkan ramai akui kehebatan mereka.

Awal tahun ini, kumpulan itu turut disenaraikan sebagai Top 25 Paling Berpengaruh Di Internet oleh majalah Time. Tentu sekali dengan pencapaian terbaru itu, kedudukan BTS dalam carta itu berubah naik ke atas lagi.

Meskipun nama mereka cukup berkuasa di Korea sendiri, bagaimanapun, BTS mengakui dapat beraksi di acara itu adalah mimpi jadi kenyataan.

“Kami tidak dilayan seperti kebiasaan orang ingin tahu mengenai rakyat Asia pada acara itu sebaliknya mereka sangat menghormati serta membuatkan kami sangat penting untuk AMAs.

“Kami diberikan slot persembahan selepas Diana Ross dan diperkenalkan The Chainsmokers yang tidak dinafikan sangat popular di Amerika Syarikat. Jelas sekali mereka tahu banyak perkara mengenai kami dan bersedia dengan penampilan kami,” kata anggotanya, RM.

BTS menjadi kumpulan K-Pop pertama yang mendapat pengikut lebih 10 juta di Twitter selain menjadi kumpulan dari Korea pertama beraksi di AMAs. Pemilihan mereka adalah berdasarkan pengaruh luar biasa yang diterima dalam kalangan peminat di Barat.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *