‘Tak Kisah Kalau Tak Kenal’

KUALA LUMPUR: Mencatat lebih 2.5 juta tontonan sejak single pertama dimuat naik di YouTube tiga bulan lalu, Xpose Band mengakui selesa jika tidak dikenali peminat asalkan lagu mereka ‘meletup’.

Berpegang kepada falsafah menjual bakat, Xpose Band yang ditubuhkan kira-kira 10 bulan lalu meletakkan karya dihasilkan lebih penting daripada populariti band mahupun peribadi.

“Kami terjun ke dalam bidang ini sebab nak jual karya kami. Tak kisah kalau orang tak kenal. Ini peluang kami berada dalam industri… bukan sebab nak popular, tetapi nak ketengahkan lagu.

“Melihat komen positif peminat di laman YouTube, kami bangga lagu diterima,” kata vokalis Xpose Band, Furhan, kepada BH Online.

Kira-kira tiga bulan lalu, Xpose Band melancarkan single pertama, Sandiwara, di YouTube. Lagu berteras muzik 1990-an itu pantas menarik perhatian peminat lagu mendayu.

Kejayaan kumpulan itu itu dilihat bagai mengembalikan era kegemilangan band remaja seperti New Boyz dan Sofaz, satu ketika dulu.

Mengatur langkah seterusnya, Furhan dan anggota band merancang merakamkan single kedua.

“Kami ingin mengekalkan konsep asal yang mana muzik kami segar dengan lirik persis lagu era 1990-an. Kami mengikut selera pendengar sekarang yang suka lagu jiwang.

“Saya dan teman-teman juga merujuk lagu penyanyi lain dalam mencari idea mencipta karya baharu,” katanya.

Selain Furhan, Xpose Band dianggotai Fakhrul yang bermain gitar; Zaim (keyboard) dan Taqim (dram).-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *