Syatilla Harap Sam Ingat Status Diri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syatilla Melvin, memberikan sepenuh kebebasan untuk suaminya berkarya, namun pada masa sama perlu mengingati status diri sebagai suami dan bapa.

Menurut isteri kepada Shaheizy Sam itu, beliau memberikan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi kepada suami dan seboleh-bolehnya enggan mengganggu kerjayanya.

“Tipulah kalau dikatakan tidak timbul sekelumit pun rasa cemburu, namun saya tidak mahu terlalu mengikut perasaan hingga mengganggu kerja Sam.

“Biasanya, dia juga takkan berkongsi perkara yang boleh membuatkan saya tidak senang hati. Begitupun, ia bukan bermakna dia menyorokkan sesuatu daripada saya.

“Lumrah wanita memang suka berfikir, jadi rasanya tidak wajiblah untuk dia bercerita mengenai perkara yang dirasakan tak perlu. Ada masanya, Sam akan berkongsi juga peristiwa yang berlaku di lokasi penggambaran dan sebagainya, namun lebih berkisar mengenai dirinya saja.

“Saya pula memang memberikan kebebasan kepada Sam untuk bekerja, namun dia sendiri perlulah ingat statusnya sebagai bapa dan suami. Itu saja yang penting,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonan suaminya, Pinjamkan Hatiku, di sini, semalam.

Dalam filem yang akan menemui penonton mulai 30 November itu, pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH sebanyak tiga kali berkenaan berlakon di sisi Ayda Jebat dan Farid Kamil.

Syatilla berkata demikian kepada BH Online ketika diminta mengulas isu pelakon yang terjebak dengan cinta lokasi bersama rakan gandingan, sehingga ada kala timbulnya kontroversi apabila ia turut membabitkan mereka yang sudah berkeluarga.

Beliau dan Sam sah bergelar suami isteri pada 8 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bukit Jawi Golf Club, Pulau Pinang.

Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 26, mengakui rindu untuk kembali aktif di arena lakonan.

Begitupun, beliau mengorbankan seketika minatnya demi anak mereka, Syeriv Samheizy, yang kini berusia enam bulan.

“Anak masih kecil lagi, malah saya juga tidak percaya orang luar untuk menjaganya. Tunggulah sehingga dia besar sedikit, barulah saya akan menerima tawaran bersesuaian,” kata Syatilla yang sebelum ini menarik perhatian ramai menerusi kemunculannya dalam siri Sha & Shah (2016).-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *