PKR Ingatkan Dr Mahathir, Jaga Sensitiviti Dalam PH

SHAH ALAM – PKR hari ini mengingatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjaga sensitiviti dalam tindakan dan kenyataan mereka.

Naib Presidennya, Dr Shaharuddin Badaruddin berkata demikian selepas diajukan perihal Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyertai sesi dialog ‘town hall’ bersama anak muda di Petaling Jaya, dua malam lalu.

Peringatan itu disifatkan penting, menurutnya dalam usaha PH mahu mengalahkan parti pemerintah dan gagasan itu tidak terbuai dengan dakwaan dan persepsi negatif melibatkan pimpinannya.

“Tak kiralah mana-mana pimpinan di dalam PH mesti lihat sensitiviti yang ada pada parti-parti politik yang lain.

“Setiap pimpinan kena menghormati pandangan pmpinan yang lain dan harus menumpukan perhatian dalam bagaimana hendak mengalahkan Umno-BN pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Dalam sesi dialog itu, Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan pendiriannya secara jelas terhadap dakwaan Anwar sebagai peliwat, selepas beliau diajukan soalan itu daripada salah seorang anak muda.

Namun ketika sidang media selepas sesi dialog itu tamat, Pengerusi PH itu menjelaskan beberapa perlakuan seks luar tabie yang didakwa dilakukan Anwar.

Dr Mahathir menegaskan dirinya tidak dapat menerima seorang peliwat menjadi pemimpin negara, selepas dirinya mengetahui Anwar bukan sahaja meliwat bahkan turut ‘melancapi’ mangsanya.

“Jika pandangan datang secara terus dari pimpinan, sudah pasti boleh menjejaskan hubungan. Namun kita sudah pergi jauh dari itu, kita kena tumpukan perhatian kepada pilihan raya, maka persepsi yang cuba ditimbulkan itu akan dipatahkan,” demikian menurut Shaharuddin lagi.

Lebih lanjut, Shaharuddin mengakui wujud di kalangan ahli parti yang ‘terasa’ dengan kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PH terhadap Anwar.

“Kita ada beratus ribu ahli. Sudah pasti (rungutan) satu, dua ahli tidak boleh ambil kira sebagai tidak berpuas hati. Bermakna semuanya masih bersetuju kita harus bekerjasama sebab semua parti ada kekuatan masing-masing,” tegasnya.

Untuk rekod dalam sidang media pada 22 September 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan menegaskan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

Selepas hampir 20 tahun, Dr Mahathir dan Anwar ‘berjabat tangan’ tanda melupakan krisis lalu dan kedua-duanya bekerjasama dalam PH dengan masing-masing berperanan sebagai Pengerusi dan Ketua Umum.

Dr Mahathir, ketika diajukan pendirian terkininya terhadap Anwar selepas menjalin hubungan baik itu enggan menjawab secara langsung, enggan lagi menoleh cerita lama, malah menegaskan kejadian kes liwat itu berdasarkan kepada tindakan pihak berkuasa.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun terus mempertahankan tindakannya memecat Anwar sebagai timbalannya itu kerana ‘mengikut situasi’. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *