Pemain Muda AS, Wan Kuzain Balik Malaysia

PETALING JAYA – Wan Kuzain Wan Kamal, anak Malaysia pertama yang mencipta nama bersama kelab bola sepak Amerika Syarikat (AS), Swope Park Rangers akan pulang ke tanah air pada minggu depan.

Menurut bapanya Professor Dr Wan Kamal Napi, Kuzain akan berada di negara ini selama dua minggu untuk bercuti bersama abangnya, lapor mStar.

“Insya-Allah dia akan pulang ke Malaysia untuk percutian singkat. Dia akan berlepas bersendirian terlebih dahulu dan akan ditemani abangnya seminggu kemudian. Namun buat masa ini, dia berada di California bersama ejen dan juga rakan-rakannya,” kata Dr Wan Kamal.

Jelas beliau, Kuzain akan bercuti di Kuala Lumpur selama seminggu sebelum berlepas ke Sabah seminggu kemudian.

“Dia akan berada di Malaysia selama dua minggu sahaja kerana dia perlu pulang ke AS untuk pendaftaran kelas kuliah sementara musim rehat (Liga AS),” katanya.

Ditanya sama ada Kuzain akan mempertimbangkan untuk beraksi bersama mana-mana kelab di Malaysia, Dr Wan Kamal berkata ia tidak mungkin berlaku.

“Dia tidak akan bermain untuk mana-mana kelab di Malaysia memandangkan dia adalah seorang pemain profesional. Lagipun Liga Malaysia adalah semi profesional,” katanya.

Menurut Dr Wan Kamal yang berasal dari Kelantan, mereka sekeluarga juga memilih untuk terus menetap di negara Uncle Sam itu.

“Saya sudah tinggal di Amerika Syarikat hampir 25 tahun. Jadi saya fikir kami akan terus menetap di sini. Lagipun kesemua anak saya lahir di sini, jadi mereka merupakan warganegara AS.

“Jadi mungkin sukar bagi Kuzain untuk bermain mewakili Malaysia,” katanya.

Nama pemain berusia 19 tahun itu menjadi sebutan di negara ini selepas menjulang kejuaraan USL Western Conference bersama Swope Park Rangers selepas membenam OKC Energy menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selama 120 minit dalam aksi final, 4 November lalu.

Kuzain atau lebih dikenali dengan gelaran Messi Amerika adalah watak penting dan tulang belakang kepada kebangkitan pasukan itu.

Dia turut pernah beraksi bersama skuad bawah 17 tahun (B-17) AS dua tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *