Nazri: Jangan Larang Pramugari Pakai Tudung

Pramugari muslim yang bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS) perlu dibenarkan memakai tudung, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Kenyataan Nazri itu dibuat ketika kontroversi larangan memakai tudung kepada pekerja perkhidmatan pelanggan oleh beberapa hotel yang beliau dan beberapa pihak lain nyatakan bantahan.

Dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa, Nazri berkata hak untuk tidak didiskriminasi atas alasan agama merupakan hak asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya

“Apa-apa yang bercanggah dengan Perlembagaan tidak boleh dikompromi. Tidak boleh (MAS tidak boleh buat larangan itu), itu saja,” katanya.

Nazri menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang membangkitkan isu pramugari MAS telah meminta untuk dibenarkan bertudung ketika bekerja.

“Ada permintaan daripada pramugari MAS, mereka mahu pakai tudung, mereka mahu tutup aurat, apa pendapat anda?” soal Ahmad Marzuk.

Disoal lanjut berkenaan larangan bertudung oleh hotel tertentu, Nazri berkata beliau tidak salahkan hotel antarabangsa yang mengamalkan polisi seperti itu sepenuhnya meskipun membantah amalan polisi itu.

“Saya nyatakan kekesalan kepada Persatuan Hotel Malaysia (MAH), saya tidak salahkan hotel antarabangsa ini kerana mereka adalah orang luar yang menguruskan hotel di dalam negara kita,” katanya.

Menteri itu berkata, bagaimanapun, hotel-hotel yang mengamalkan polisi itu tidak seharusnya mendakwa ia adalah prosedur operasi standard (SOP).-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *