Kolaborasi Sulung 
Nabila, Ajak Dalam RSL

NASKHAH layar perak bercirikan pelumba jalanan atau lebih popular digelar mat rempit mahupun mat moto dilihat mudah untuk menarik penonton ke pawagam.

Tidak dinafikan genre filem sebegitu mempunyai pengikut tersendiri dan menjadi antara sebab pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor mengambil keputusan untuk menyuntik elemen rempit dalam naskhah terbaharu terbitan rumah produksinya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. bertajuk Rempit Sampai Langit (RSL).

Tidak terlalu menonjolkan kehidupan kelompok pencinta dunia automotif tersebut, aktor berusia 50 tahun itu mengambil pendekatan menggabungkan genre komedi dan melodrama dengan mempertaruhkan pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), Nabila Huda bersama Ajak Shiro.

Pertama kali berkongsi lensa dalam satu naskhah yang sama, Rosyam yakin kredibiliti kedua-dua artis terbabit mampu ‘mengheret’ penonton ke pawagam.

“Biarpun khalayak mengatakan filem berkonsepkan rempit sudah ketinggalan zaman tetapi pada pandangan saya ia sama sekali tidak benar. Kelompok ini tetap akan ada kerana mereka silih berganti dengan generasi baharu dari semasa ke semasa,” terang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM26 berkenaan sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem RSL minggu lalu.

Cabar diri
Memperkenalkan diri sebagai seorang pelawak menjadikan pemilik nama sebenar, Mohd. Hanaffi Razak atau Ajak lebih menjurus ke arah komedi berbanding diberi kepercayaan membawakan karakter serius.

Namun, artis kelahiran Kluang, Johor itu tidak menafikan dirinya sering membawa watak serius menerusi drama rantaian mahupun telefilem di kaca televisyen.

Situasi tersebut bagaimanapun berbeza sekiranya melibatkan aktiviti seni di layar perak. Kata Ajak, kekerapan membawakan watak komedi di layar perak mencetuskan rasa gusar sekiranya dilabelkan sebagai stereotaip dalam kalangan penonton.

“Sebagai pelakon saya ingin diberi peluang untuk melihat potensi diri dan menimba pengalaman bagi meningkatkan kualiti kerja sama ada di kaca televisyen mahupun layar perak.

“Sekiranya diberi peluang, saya ingin cabar diri membawakan watak seperti pembunuh bersiri atau hanya bergantung pada ekspresi wajah tanpa sebarang dialog sepanjang tempoh dua jam filem ditayangkan,” luah anggota kumpulan Shiro itu dalam nada berseloroh.

Kagum
Dalam pada meluahkan keinginannya, Ajak tidak menafikan dia berasa kagum dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh gandingannya dalam filem RSL, Nabila.

Menyifatkan Nabila sebagai pelakon yang cakna terhadap karakter lakonannya menjadikan Ajak mengagumi anak perempuan penyanyi rock popular, Amy Search tersebut.

Kredibiliti tersebut lantas mengubah persepsi Ajak yang sebelum ini lebih menjurus ke arah kontroversi dan cerita kurang enak mengenai Nabila dan pesimisme terhadap wanita berusia 32 tahun itu.

“Dia memegang karakter sebagai wanita yang yang lemah lembut dan sederhana. Jadi sewaktu penggambaran, Nabila hadir ke lokasi dengan penampilan rapi serta kuku yang dipotong kemas, sesuai wataknya,” terang Ajak yang membawakan watak sebagai Kudin dalam RSL.

Ujar Ajak lagi, dia sememangnya mengetahui kehebatan Nabila saat menterjemahkan watak, namun tidak mengenali ibu kepada seorang cahaya mata itu secara dekat.

“Tidak dinafikan Nabila seorang pelakon yang teliti dan mengkaji watak dibawakan secara terperinci. Kesungguhannya itu membuat saya yakin dia mampu bertahan lama dalam industri hiburan tempatan,” puji Ajak.

Keyakinan
Melepaskan ketawa kecil saat mendengar pujian Ajak, Nabila bagaimanapun tidak menafikan dirinya bimbang penglibatan dalam naskhah berbentuk komedi mampu menjejaskan peterana sebagai pelakon yang sarat dengan nilai dramatik.

Namun, peluang membintangi filem RSL secara tidak langsung telah ‘melakar’ landskap baharu buat kerjaya lakonan Nabila selain mengukuhkan portfolio seninya.

Membawakan watak sebagai Chomel yang bekerja sebagai penjual bunga menjadikan karakternya lebih menonjol ke arah melodrama berbanding komedi.

“Ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam naskhah berbentuk komedi dan pastinya berasa bimbang sekiranya tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Namun, setelah berbincang dengan penerbit (Rosyam), perasaan yakin mula timbul kerana tugas melakonkan babak jenaka tidak terletak di bahu saya. Sebaliknya, ia dilakukan oleh Ajak dan Tauke Jambu.

“Secara peribadi, bukan bermaksud untuk memuji hasil kerja sendiri tetapi setelah menonton RSL secara keseluruhan, saya yakin filem tersebut bakal menjadi naskhah komedi penutup 2017 yang baik,” ulas Nabila bersungguh-sungguh.

Kesan CGI
Mengulas lanjut mengenai filem RSL, Nabila turut memberitahu, dia tidak berasa malu melihat lakonannya dalam filem tersebut meskipun penggambaran naskhah arahan Silver Chung itu dilakukan dua tahun lalu.

Tempoh dua tahun digunakan oleh pihak produksi untuk menyiapkan kesan imej janaan komputer (CGI) sehingga memperuntukkan belanja sebanyak RM1.2 juta hanya untuk teknologi tersebut.

Pada masa sama, Nabila juga mengharapkan penonton tidak terlalu menghakimi kualiti CGI filem tersebut kerana ia memenuhi keinginan Rosyam.

Mendapatkan perkhidmatan daripada Viper Studios Sdn. Bhd., Nabila yakin kualiti CGI yang dipertaruhkan mampu memberikan impak komedi dalam kalangan penonton.

“Filem ini hanya untuk tontonan komedi dan bukan satu naskhah serius, jadi kesan CGI yang digunakan hanya untuk mewujudkan unsur jenaka dan membuatkan penonton berasa terhibur,” terang Nabila.

Pelantun lagu X-Ray itu juga mengharapkan agar peminat menyambut baik filem baharunya itu selain terus menyokong pertumbuhan naskhah tempatan di pawagam.

Menemui penonton pada 23 November (hari ini), filem RSL turut dibintangi oleh Tauke Jambu, Reen Rahim, Jay Iswazir dan Christina Suzanne.

Ia sebuah naskhah komedi yang turut diserikan dengan unsur fiksyen dan melodrama selain sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Filem tersebut mengisahkan tentang Kudin bertemu dengan seorang saintis Arab yang memberikannya petrol luar biasa sehingga mampu menerbangkan motosikal.

Konflik timbul apabila Kudin berusaha menambat semula hati bekas kekasihnya, Haryati (Christina Suzanne) dan pada masa sama, Chomel yang merupakan kawan baiknya turut menyimpan perasaan terhadapnya.

Gandingan sulung pelawak dan deejay Ajak Shiro bersama aktres Nabila Huda menerusi filem Rempit Sampai Langit merupakan naskhah eksperimentasi Datuk Rosyam Nor yang menggabungkan genre komedi dan melodrama.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *