Johor Umum Bantuan Khas Kewangan Setengah Bulan Gaji, Minima RM1,500

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,500 kepada kakitangan kerajaan negeri Johor dan persekutuan yang dibiayai oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan itu akan turut melibatkan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ahli Dewan Negeri Johor, Ahli Jumaah Diraja Johor, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor, Pelatih-pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Guru-guru Tadika Agama Islam Johor (TAJ).

“Bagi yang mempunyai gaji di bawah RM3,000 sebulan, mereka akan mendapat lebih daripada setengah bulan gaji.

“Pastinya kita amat sedar semua ini tidak akan sesekali setara dan memadai jika dibandingkan dengan jasa dan sumbangan besar semua pihak kepada perkhidmatan awam Johor.

“Namun kita benar-benar berterima kasih,” katanya ketika pembentangan Bajet Johor 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak akan melupakan jasa mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan.

Justeru, tambahnya, kerajaan negeri bersetuju untuk memperkenalkan Bantuan Khas Persaraan bernilai RM1,000 kepada penjawat awam negeri yang bersara bermula tahun 2018.

“Seterusnya, bagi menghargai jasa bekas Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar pencen pesara ADUN kepada 60 peratus daripada gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan yang bersamaan dengan kadar pencen ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Kesemua bantuan khas itu akan diberi pada Januari tahun depan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *