Johor Bentang Bajet Lebihan RM1.141 Juta

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor membentangkan bajet berlebihan sebanyak RM1.141 juta dengan anggaran hasil pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1.504 bilion manakala anggaran perbelanjaan pula RM1.503 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan terdiri daripada RM493.358 juta dan perbelanjaan lain RM1.009 bilion.

“Bagi perbelanjaan pembangunan tahun 2018 pula akan diperuntukkan sebanyak RM700 juta yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan di mana RM610 juta merupakan caruman daripada Akaun Hasil Disatukan dan baki RM90 juta daripada hasil dan terimaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled berkata, secara keseluruhan bajet tersebut adalah bagi melaksanakan 153 titik sentuhan yang akan digerakkan menerusi lima strategi khusus.

“Strategi pertama, menggalakkan pertumbuhan ekonomi nan sejahtera dengan mempelbagaikan sektor pertumbuhan dan strategi kedua, pemantapan kemudahan awam serta pelebaran ruang kesejahteraan rakyat.

“Strategi ketiga pula ialah memberi fokus kepada keperluan masa hadapan Johor iaitu membangunkan kemahiran semua rakyat negeri ini dan keempat, menjelmakan pengurusan tatakelola kerajaan yang berprestasi telus dan amanah,” katanya.

Tambahnya, strategi kelima ialah mewujudkan pembangunan serta persekitaran yang lestari, islami, selamat, berbudaya, seimbang dan bersandarkan kearifan tempatan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *