Dedah Wajah Anak Bulan Depan

Selepas dilahirkan pada 15 Oktober lalu, ramai menunggu wajah anak lelaki pasangan pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli.

Semua gambar yang dimuat naik di Instagram mereka hanya memaparkan sisi wajahnya saja. Pendek kata, Amar dan Amyra belum bersedia berkongsi wajah anak mereka.

Menurut Amar, 32, dia dan isteri bakal memperkenalkan wajah dan nama anak mereka dalam sebuah program realiti lapan episod yang mulai bersiaran awal bulan depan.

“Saya dan isteri berbesar hati nak kongsi wajah dan nama anak, tetapi kami mendapat hak eksklusif penyiaran dan tak boleh langgar kontrak. Insya-Allah awal bulan depan episod pertama mula ditayangkan.

“Serentak dengan program ini, baru kami berkongsi kepada semua. Tidak dinafikan hampir setiap hari ramai bertanya nama dan teringin melihat wajah anak. Apa saya boleh kongsikan, nama anak kami bermula dengan A.

“Saya dan isteri mengambil keputusan memuat naik juga gambar anak, tetapi tidak secara penuh. Sekurang-kurangnya dapat memenuhi permintaan peminat. Kami tak nak macam segelintir artis lain yang meletakkan emoji pada wajah anak. Ia hanya menimbulkan kemarahan orang,” katanya.

Mengenai program itu, Amar berkata, ia memaparkan episod Amyra mengandung, ‘baby shower’, bersalin, proses anak membesar, majlis cukur jambul dan banyak lagi.

Berkongsi mengenai dirinya, menurut Amar dia juga turut ‘berpantang’ seperti isterinya apabila tidak mengambil sebarang tawaran kerja sepanjang hampir dua bulan ini.

“Kali terakhir saya terbabit dalam penggambaran drama Kalis Kasih untuk slot Samarinda pada awal bulan lalu. Selepas itu, saya terus bercuti hingga sekarang.

Ini memang perancangan saya untuk menjaga isteri dan anak. Kalau boleh saya nak memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.

“Memandangkan ini anak pertama kami, jadi saya merasai pengalaman menguruskan semuanya. Disebabkan itu juga, kami tidak mengambil pembantu. Cuma saya beruntung apabila ibu mentua turut sama membantu.

“Buat masa sekarang, saya okey untuk buat sendiri. Alhamdulillah, anak juga tidak banyak ragam. Kalau menangis pun sebab nak menyusu atau dia buang air. Setakat ini belum ada lagi kejadian yang tak diingini,” katanya.

Bertukar waktu tidur Amar juga berkongsi yang waktu tidurnya bertukar sejak anaknya dilahirkan. Amar berkata, dia memilih berjaga pada waktu malam bagi memastikan anaknya tidur dalam keadaan baik.

“Saya ada mendengar kisah ada bayi tersedak susu ketika tidur tanpa disedari ibu bapa. Jadi, saya sangat risau perkara sebegini berlaku. Disebabkan itu, saya memilih untuk berjaga pada waktu malam dari jam 10 sehingga 7 pagi.

“Selepas Subuh, giliran isteri dan ibu mentua pula. Ini juga antara sebab kenapa saya tidak mahu mengambil sebarang tawaran. Insya-Allah, selepas isteri habis berpantang nanti baru saya mula bekerja semula. Sementara isteri pula pada awal tahun depan,” katanya.

Menurut Amar, tanggungjawab kian bertambah selepas bergelar bapa, malah dia juga perlu bijak membahagikan masa untuk isteri dan anak.

“Kalau dulu, masa saya lebih kepada isteri. Sekarang sudah ada seorang lagi. Jadi, saya perlu bahagikan masa dengan sebaik-baiknya.

Apatah lagi dalam keadaan isteri masih berpantang, saya perlu banyak membantunya. Saya tidak boleh membiarkannya.

“Bagi saya, ibu dan anak perlu sentiasa diberikan perhatian dan saya nak kedua-dua mereka sentiasa dalam keadaan sihat. Walaupun waktu tidur bertukar, saya tetap seronok. Ini adalah pengalaman baru untuk saya.

“Apa yang pasti juga, tanggungjawab saya bertambah dan jadi lebih besar. Hanya mereka yang pernah melalui pengalaman ini dapat merasainya,” katanya.

Amar berkata, dia juga masih dalam perbincangan bersama isteri untuk berpindah ke rumah sendiri selepas habis berpantang.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *