Bapa Anak OKU Dirogol, Bunuh Mahu Pelaku Dihukum Mati

Seorang bapa yang tidak dapat menahan sebak dan amarah susulan kematian tragis anak perempuannya yang dirogol bergilir-gilir sebelum dibunuh dipercayai oleh perompak di rumahnya di Sedayu, Yogjakarta, Indonesia mahu suspek dihukum mati atas jenayah tersebut.

Dalam kejadian pada 18 November lalu, Utami Dwi, 26, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) iaitu cacat pekak dan bisu ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang oleh kakak mangsa di rumah sewa kira-kira jam 9.45 pagi waktu tempatan.

“Ini pembunuhan keji. Saya minta agar pembunuh anak segera ditangkap. Kemudian dihukum mati,” tegas bapa mangsa, Surajito memetik portal merdeka.com pada Isnin lalu.

Surajito berkata dia tidak boleh menerima perbuatan kejam yang menimpa anak perempuannya itu, selain mengakui bahawa mangsa tidak pernah mengadu mempunyai masalah atau bermusuh dengan orang lain.

Katanya, meskipun Utami seorang OKU tetapi dia seorang anak yang berdikari, bijak serta rajin. Utami merupakan penerima biasiswa dan tidak pernah berputus asa untuk menuntut ilmu walaupun kekurangan fizikal.

“Anak saya selalu membantu saya. Setiap pagi dia mengemas rumah dan menyapu halaman. Selain itu, anak saya juga bekerja dan tidak suka menyusahkan orang tuanya,” kongsi Surajito mengenai anaknya.

Surajito menambah hasil kesungguhan Utami bekerja, anaknya berjaya membuat simpanan kira-kira 4 juta rupiah (RM1,216).

“Namun selepas kejadian itu, wangnya hilang bersama beberapa barangan lain seperti televisyen dan rantai emas,” katanya.

Memetik portal radarjogja, mangsa dipercayai dirogol bergilir-gilir ketika perompak memasuki rumahnya sebelum mangsa dibunuh.

Kakak mangsa, Eka Rinangsih, 28, memberitahu adiknya ditemui dalam keadaan tidak berbaju ketika dia ke rumah mangsa untuk mengajaknya ke bandar Yogjakarta.

Ketua polis Sedayu Kompol Sugiarta berkata, mangsa dipercayai mati dibunuh selepas suspek selesai merogolnya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa menemui kesan jerutan pada leher gadis malang itu, selain terdapat pendarahan pada bahagian kemaluan dan najis ditemui di dubur mangsa.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati pelaku tidak hanya membunuh mangsa, malah turut melarikan wang berjumlah 4 juta rupiah serta beberapa barang lain milik mangsa termasuk televisyen dan rantai emas,” katanya memetik portal tersebut.

Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Perlindungan dan Hak Asasi Setia Adi Purwanta ketika menziarahi keluarga mangsa turut mengecam perbuatan pelaku sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Ini kejahatan yang keji. Ini sangat menyakitkan dan begitu hina. Korban diperkosa, dibunuh dan hartanya dirompak,” katanya seperti dilapor merdeka.com.

Setia menjelaskan pihaknya kini sedang mengikut rapat perkembangan kes tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengesan suspek yang terlibat dan memastikan pelaku menerima hukuman yang seberat-beratnya.

Difahamkan, pihak berkuasa masih giat mengesan suspek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *