Asfan Sedih Anak Kena Demam Kuning

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Asfan Shah, mengakui naluri sebagai bapa terusik hingga mengalirkan air mata sebaik saja dimaklumkan anak ketiganya yang baru berusia lima hari terkena demam kuning.

Katanya, memori ketika cahaya mata sulungnya, Ali Haytham Shah, menghidap demam sama, empat tahun lalu, masih terpahat kukuh dalam ingatan, sekali gus dirinya belum mampu menghilangkan trauma.

Asfan, 33, yang turut dikenali sebagai komposer berkata, bayinya yang lahir tidak cukup bulan terpaksa ditempatkan dalam inkubator dengan wayar yang masih berselirat.

“Mungkin pada orang lain, demam kuning perkara biasa yang tidak perlu dirisaukan. Namun sebagai bapa, saya tak sampai hati melihat tubuh sekecil itu terpaksa melalui dugaan sedemikian.

“Pengalaman ketika anak pertama dulu juga agak menakutkan. Jadi, sedikit sebanyak hati saya terus sebak sampai menangis apabila mendapat tahu si kecil ini turut terkena demam kuning,” katanya kepada BH Online.

Isterinya, Ain Sakinah, melahirkan cahaya mata ketiga mereka secara normal pada 17 November lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara.

Pemilik nama sebenar Norasfan Shah Shah Rudin itu turut menyatakan beliau menyewa mesin fototerapi yang boleh digunakan di rumah demi memudahkan isteri yang masih dalam pantang.

“Ikutkan, bayi kami perlu ditinggalkan dulu di hospital manakala ibunya perlu berulang untuk memberi susu badan. Memang ada bilik untuknya, tetapi di aras berlainan, sekali gus memerlukan isteri naik turun beberapa kali sehari.

“Memikirkan ada cara lebih mudah, selamat dan selesa untuk isteri bersama bayi, kami sewa saja mesin fototerapi itu untuk beberapa hari, namun masih perlu ke hospital setiap hari bagi menjalani pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, walaupun dirinya sibuk dengan promosi lagu Sumpah Cintaku dan persediaan mengadakan persembahan akustik solo pertama pada pertengahan bulan depan, Asfan mengakui tetap meletakkan kepentingan keluarga di tempat teratas.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *