TRW Cari Jurulatih Luar

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) lebih berminat untuk mendapatkan jurulatih dari luar negara bagi membimbing The Red Warriors (TRW) musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, setakat ini pihaknya sudah mempunyai dua calon jurulatih import yang dalam pemerhatian dan penilaian pengurusan persatuan itu.

“Kita tidak mahu mendedahkan calon-calon jurulatih itu kerana mereka dalam pemerhatian dan penilaian kami,” katanya, lapor Bernama.

Sebelum ini, Kafa mengumumkan penolong jurulatih Kelantan, Santhit Bensoh diberi tugas mengendalikan latihan skuad TRW sehingga ketua jurulatih baharu dilantik.

Bibi Ramjani berkata, antara faktor jurulatih import menjadi perhatian ialah pihaknya mahu kelainan teknik yang diterapkan kepada pemain bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia.

“Kita tahu pemain yang mewakili Kelantan adalah pemain muda, jadi mungkin teknik tertentu boleh dipelajari daripada jurulatih luar,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, Kafa akan menguji lima pemain import dari Amerika Latin dalam sesi perlawanan persahabatan tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *