Respon Isu Basikal ‘Dikerjakan’ Pengguna Malaysia

Perkhidmatan perkongsian basikal, oBike telah berjaya diterima baik di beberapa buah negara seperti di London, New York dan Amsterdam, namun sedihnya platform perkongsian itu jelas tidak menerima ‘layanan’ yang bagus di Malaysia.

Perkhidmatan tersebut memerlukan pengguna memuat naik aplikasi khas dan membuat bayaran deposit sebelum boleh menggunakan oBike.

oBike juga menerusi laman sesawangnya memaklumkan pelanggan perlu memulangkan basikal itu di tempat terbuka terutamanya di kawasan tempat meletak kenderaan awam, dan bukannya meninggalkan ia di kawasan peribadi sehingga menyukarkan pihak mereka untuk mencari semula basikal tersebut.

Arahan itu sangat mudah tetapi malangnya terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab yang masih kurang faham mengenainya apabila dengan sengaja meletakkan basikal tersebut di tempat yang ‘tidak sepatutnya’.

Perkongsian yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Rizal Hakimm memaparkan basikal-basikal oBike dibuang di dalam longkang, dicampak dalam semak, tergantung pada papan tanda, selain ditinggalkan di kawasan tersembunyi termasuk di kawasan perumahan.

Lebih menyedihkan, perkhidmatan tersebut turut menjadi mangsa vandalisme apabila basikal tersebut dirosakkan dengan beberapa bahagian seperti tayar, pelana serta handle telah tercabut dan hilang.

Rizal Hakimm mendakwa antara lokasi yang dikesan berlaku kejadian vandalisme membabitkan perkhidmatan oBike adalah di sekitar kawasan Kedutaan, di Jalan Ampang.

Susulan kejadian memalukan itu selepas lebih kurang lapan bulan ia diperkenalkan di negara ini, rata-rata netizen mengutuk keras perbuatan tersebut dengan menyifatkan segelintir rakyat Malaysia masih lagi bermentaliti kelas bawahan.

“Segelintir rakyat negara kita masih bermentaliti kelas bawahan. Jahanam OBike dia campak merata. Lokasi di sekitar Jalan Ampang, KL,” selar pasukan Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) menerusi laman Twitter rasmi mereka.

Segelintir netizen juga yang mencadangkan supaya perkhidmatan tersebut dihentikan di negara ini, selain berpendapat perlu ada penambahbaikan dalam sistem bagi menjamin kejadian itu tidak berulang.

Tidak kurang juga yang mula menuding jari menyalahkan warga asing susulan insiden tersebut.

Terdahulu, oBike dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan agensi-agensi lain bagi menghubungkan kawasan berbeza bagi menyediakan perkhidmatan perkongsian basikal mereka.

Malah, empat bulan pelancaran di Malaysia, oBike menerima sambutan yang sangat mengalakkan apabila menyaksikan lebih 100,000 pengguna mendaftar dan puluhan ribu basikal untuk perkhidmatan tersebut disediakan meliputi kawasan seperti Kuala Lumpur Sports City, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Subang Jaya, Bandar Sunway, Petaling Jaya, dan Cyberjaya.

Harga untuk sewaan basikal ditawarkan berasaskan blok masa, dengan harga serendah RM1 untuk 15 minit.

Susulan insiden tersebut, pihak oBike memberikan penjelasan dan perancangan mereka dalam menangani masalah tersebut.

“Kami menyedari insiden ini dan terkejut dengan perbuatan yang tidak masuk akal ini.

“Kami telah membuat laporan berhubung kes ini untuk siasatan pihak polis, dan kami percaya tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat dan menghalang insiden serupa berlaku pada masa akan datang, ” kata Pengurus Pemasaran oBike, Elaine Chan kepada Malaysian Digest.

Ditanya mengenai langkah-langkah yang mungkin diambil sebagai tindak balas terhadap kejadian tersebut, Elaine menjelaskan bahawa oBike mempunyai sistem tersendiri bagi menggelakkan vandalisme dan penyalahgunaan terhadap basikal mereka.

“obike mempunyai ‘Credits Scoring System’ yang bertujuan untuk mendidik dan mengalakkan tingkah laku positif semasa berbasikal, selain menggelakkan pengguna daripada berkelakuan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Meskipun berdepan insiden tidak bermoral itu, pihak oBike bagaimanapun sehingga kini tidak merancang untuk menghentikan keperluan perkhidmatan perkongsian basikal.

“oBike diwujudkan dengan misi menyediakan pengangkutan yang selesa dan mesra alam di Malaysia dan kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, supaya kami dapat terus mendidik dan menggalakkan masyarakat mengenai kesedaran sivik dalam kalangan penunggang, yang bertujuan untuk mewujudkan budaya dan pengalaman berbasikal yang menyenangkan di Malaysia,” tegas Elaine.

Beliau juga menambah bahawa setakat ini tiada rancangan untuk menarik basikal-basikal dari lokasi ‘berisiko’ kerana penggunaan perkhidmatan itu berdasarkan kepada penawaran dan permintaan.

Walaupun oBike menyatakan bahawa mereka merancang untuk meneruskan perkhidmatan mereka walaupun menghadapi tindakan sedemikian, perbuatan yang menyedihkan ini mungkin akan mengubah rancangan mereka jika ia terus berlaku.

Jadi kami di Malaysian Digest menggesa orang ramai untuk menjaga oBike dan memastikan ia dalam keadaan yang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *