Polis Tahan Lelaki, Rampas 17,698 Pil Ekstasi Bernilai Lebih RM530,000

MUAR — Polis menahan seorang lelaki dan merampas lebih 17,000 biji pil ekstasi bernilai lebih RM530,000 di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira 2 pagi, Isnin.

“Bertindak atas maklumat serta risikan, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan sebagai tempat transit dan menahan seorang penganggur yang disyaki menjadi orang tengah.

“Pemeriksaan mendapati sebanyak 17,698 biji pil ekstasi diisi dalam 18 bungkus plastik lutsinar dianggarkan bernilai RM530,940,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing suspek menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine namun lelaki terbabit dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Zaharudin berkata suspek direman enam hari hingga Ahad untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Beliau berkata pihaknya percaya dengan kejayaan ini dapat menumpaskan sindiket-sindiket pengedaran dan penagihan dadah khususnya di daerah ini.

“Setakat ini, ia merupakan tangkapan terbesar membabitkan rampasan narkotik bagi tahun ini di daerah Muar,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *