Polis Tahan Dua Lelaki Suspek Baling Bom Petrol

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang dipercayai terbabit membaling bom petrol (molotov cocktail) ke dalam kawasan sebuah surau di Damansara Damai, Ahad lalu, ditahan awal pagi tadi.

Kedua-duanya ditahan kira-kira jam 3 pagi bersama motosikal yang disyaki digunakan ketika membaling botol arak mengandungi petrol dan sumbu kain.

Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sri Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek yang juga dipercayai penduduk kawasan berhampiran.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi Ahad lalu, lebih 20 jemaah yang menunaikan solat Subuh di Surau Al Huda, Damansara Damai, terkejut apabila mendapati kawasan pintu surau terbakar.

Mereka turut menemui botol bekas arak diisi petrol yang tidak pecah, selain mempunyai sumbu kain.

Seorang ahli jawatankuasa surau berkenaan mendakwa, wujud masalah dalam kalangan penduduk setempat yang membantah pembinaan sebuah kuil di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, penduduk tidak mengetahui sama ada kejadian bom itu mempunyai kaitan dengan bantahan berkenaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *