Pesawah Disyaki Subahat Seleweng Skim Baja Padi

MELAKA – Seorang pesawah yang mampu memiliki kereta mewah jenis Audi A4 ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) di negeri ini berjumlah kira-kira RM2.54 juta.

Suspek lelaki yang berusia 46 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam tadi di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas hadir untuk memberi keterangan.

Dia merupakan suspek kedua ditahan SPRM bagi membantu siasatan selepas penahanan seorang pengurus projek Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri ini yang dipercayai dalang utama kegiatan itu kelmarin.

Menurut sumber, suspek dipercayai bersama pengurus projek terbabit telah menjalankan usahasama mengusahakan projek tanaman padi seluas kira-kira 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *