Maria Sharapova Disiasat Polis

New Delhi – Pemegang lima gelaran Grand Slam, Maria Sharapova disiasat polis India berhubung penipuan dan konspirasi jenayah membabitkan projek perumahan mewah terbengkalai yang disahkannya, kata seorang peguam semalam.

Syarikat pemaju di sebalik projek itu didakwa mengambil jutaan dolar daripada pembeli sebelum ia dibiarkan terbengkalai.

Peguam yang mewakili pembeli, Piyush Singh berkata, polis memfailkan tuduhan awal penipuan dan konspirasi jenayah terhadap Maria sebagai memperluaskan kes terhadap syarikat Homestead Infrastructure Development, lapor Metro.

Pemain tenis berusia 30 tahun itu pergi ke India pada 2012 untuk melancarkan kompleks apartmen bertingkat tinggi mewah dinamakan Ballet oleh Maria sendiri.

Bakal pembeli dimaklumkan apartmen berkenaan akan menempatkan akademi tenis, rumah kelab dan tempat pendaratan helikopter.

Laman sesawang projek itu turut memetik kenyataan Maria sebagai berkata, matlamatnya untuk membuatkan pemilik berasa seperti mereka memiliki sesuatu yang istimewa dan unik.

“Mana-mana selebriti yang mengiklankan sebarang produk secara teknikalnya menjadi ejen untuk syarikat berkenaan. Tiada siapa akan melabur untuk projek itu jika bukan Maria yang mengiklankannya,” kata Singh.

Projek di Gurgaon – sebuah bandar satelit di New Delhi itu sepatutnya siap pada 2016, tetapi kerja pembinaan terbengkalai sebaik pemaju menerima wang daripada pembeli.

Bekas pemain nombor satu dunia itu meraih pendapatan hampir AS$30 juta (RM124 juta) pada 2015, menurut Forbes, dengan AS$23 juta (RM95.2 juta) daripadanya diperoleh dari produk yang diiklankannya seperti projek di Gurgaon itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *