Kisah Kecoh dan Sedih Di DUN Kelantan

KOTA BHARU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini berlangsung dalam suasana tegang dan kecoh apabila Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub mengarahkan Ketua Pembangkang, Datuk Nozula Mat Diah keluar dari dewan.

Memetik laporan BH, Abdullah dikatakan bertindak demikian setelah menganggap Nozula (BN-Paloh) melanggar peraturan dewan apabila mencelah ketika sesi penggulungan sedang berlangsung.

Nozula yang kelihatan terkejut dengan arahan tersebut tiba-tiba menjadi sebak, mendakwa wakil rakyat BN tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara pada sesi Sidang DUN Kelantan, kali ini.

“Saya ada tanggungjawab kepada rakyat… kalau itu tugas Speaker untuk buat kepada saya, Tuhan akan balas (kerana) tak beri peluang kepada ahli dewan berucap,” katanya dalam keadaan sedih dan sebak.

Semua ADUN BN turut bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap arahan Speaker.

Terdahulu, Nozula berkeras mahu menyertai perbahasan selepas dinafikan hak ketika sesi perbahasan semalam.

“Saya nak berucap, sebagai Ketua Pembangkang, takkan tak boleh bercakap, takkan tak gulung (dalam dewan).

“Semalam.. bangun-bangun dapat pada orang (ADUN) PAS, bangun-bangun dapat pada orang PAS, berapa orang saja orang (ADUN) UMNO (yang dapat berucap),” keluhnya.

Mengulas perkara itu Abdullah berkata, beliau sudah memberikan peluang kepada 10 ADUN untuk membuat perbahasan semalam, enam ADUN PAS, tiga ADUN BN dan seorang ADUN daripada Parti Amanah Negara (PAN).

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Datuk Husam Musa (PAN – Salor) menyifatkan tindakan Speaker menghalau Nozula keluar dewan sebagai keterlaluan.

Naib Presiden PAN itu turut mempersoalkan kenapa persidangan DUN Kelantan seringkali ditamatkan lebih awal dari sepatutnya.

“Setiap kali bersidang, Dun Kelantan terkejar-kejar untuk bersurai.

“Apa yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terburu-buru tak menentu?,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini, dipetik dari Sinar Online..

Katanya lagi, berbanding Kelantan, BN yang menguasai Pahang boleh melangsungkan persidangan sehingga tujuh hari untuk sidang Belanjawan.

“Mengapa Kelantan mesti hanya dua hari, dari tiga hari, petangnya tidak ada sidang, masa sebenar bersidang kurang dari tiga hari,” soalnya.

Serentak dengan itu juga, sebagai tanda protes beliau bertindak memboikot sesi penggulungan DUN Kelantan.

“Atas solidariti pembangkang, saya turut memboikot penggulungan perbahasan oleh kerajaan tengah hari ini,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *