KFA Dengar Suara Penyokong Kedah

Cadangan rombakan pengurusan perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)  menerusi 21 kelab penyokong Kedah di bawah gabungan Lang Merah Fans Association (LMFA) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Eksekutif (KFA).

Naib Presidennya, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, pihaknya sentiasa menambah baik kualiti pengurusan dari semasa ke semasa dan akan mempertimbangkan setiap cadangan bagi memastikan kelancaran pengurusan persatuan tersebut terus berjalan lancar.

Menurutnya, walaupun sudah berusaha untuk memberikan yang terbaik namun masih ada lagi ruang kelemahan menyaksikan penyokong belum berpuas hati.

“Kami mendengar setiap pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan KFA dan setiap usul yang dicadangkan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA untuk dibahas dan dipertimbangkan.

Kami akan cuba menampung setiap lompang atau kelemahan yang tidak kena pada pandangan peminat setia Hijau Kuning,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai rombakan pengurusan tiket yang turut ditekankan oleh LMFA, Badrul Hisham berkata, penambahbaikan juga sudah dilakukan seperti jualan tiket atas talian termasuk tambahan kaunter jualan tiket di Stadium Darul Aman namun masih gagal mengatasi dan memuaskan hati peminat.

Jelasnya, semua perkara yang dicadangkan oleh gabungan kelab penyokong Kedah itu akan dinilai sebaik mungkin oleh KFA.

Sebelum ini, LMFA menerusi Presidennya, Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah berkata, rombakan perlu dilakukan di dalam pengurusan KFA kerana ketika ini nampak kelemahan dan kecacatan di dalam menguruskan persatuan tersebut.

Menurutnya, hal ini disebabkan oleh rentetan beberapa isu yang kurang senang antaranya kegagalan menguruskan jualan tiket pada final dengan baik.

LMFA turut menyatakan hasrat agar Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempertimbangkan kedudukan Pengerusi Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shahrol Niza Omar gagal menjalankan peranannya sebaik mungkin sejak tiga tahun lalu selepas 4 kali Kedah mara ke final iaitu sekali Piala FA 2017 dan 3 kali Piala Malaysia 2015, 2016 dan 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *