Jumlah Gempa Bumi Kuat Meningkat Pada 2018 Kata Saintis

NEW YORK – Jumlah gempa bumi kuat mungkin meningkat secara mendadak pada 2018 berikutan putaran bumi yang semakin perlahan secara berkala, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan satu kajian baharu.

Perubahan dalam kelajuan putaran bumi mungkin mencetuskan aktiviti seismik yang kuat tahun depan, terutama di rantau tropika yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, menurut kajian itu yang disiarkan dalam jurnal akademik Amerika Syarikat, Geophysical Research Letters, lapor Bernama.

Bumi mengalami putaran yang semakin perlahan secara berkala, yang mampu mengubah panjang masa sehari dengan satu milisaat, dan tempoh itu biasanya berlangsung selama kira-kira lima tahun.

Ketika menganalisis rekod seismik bumi bagi tempoh 100 tahun lepas, penyelidik dari Universiti Colorado dan Universiti Montana mendapati tempoh yang menyaksikan putaran bumi perlahan sering diikuti oleh tempoh yang menyaksikan peningkatan ketara insiden gempa bumi kuat.

“Sepanjang tempoh ini, terdapat antara 25 hingga 30 gempa bumi kuat setahun. Selebihnya angka purata ialah kira-kira 15 gempa bumi kuat setahun,” kata Roger Bilham, antara penulis utama kajian itu.

Tahun ini merupakan penghujung bagi tempoh lima tahun bumi berputar secara perlahan sekali gus menandakan bahawa gempa bumi bermagnitud 7 atau lebih bakal berlaku.

“Bumi memberikan kita amaran lima tahun lebih awal berkaitan insiden gempa bumi yang bakal berlaku, dan ini adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Bilham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *