Jamil Khir Sedia Hadapi Tindakan Saman Siti Kassim Berkaitan Isu Hina Islam

PULAU PINANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia untuk berdepan dengan tindakan saman yang akan dikemukakan oleh peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim terhadapnya.

Katanya, beliau bertanggungjawab penuh berikutan kenyataannya semalam berhubung kertas siasatan yang dibuka Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam termasuk Siti Kassim.

“Tidak mengapa. Kalau dia (Siti Kassim) hendak saman, saya terima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan di Hotel Tabung Haji di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Johan Abdullah dan Pengurus Besar Kanannya, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Program itu dihadiri kira-kira 500 ilmuwan termasuk perwakilan luar negara sepert Turki, Kemboja, Filipina, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura dengan lima kertas kerja akan dibentangkan.

Hari ini, Siti Kassim menerusi laman sosial Facebook memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jamil Khir kerana mengaitkan dirinya dengan individu menghina Islam.

Semalam, Jamil Khir memberi­tahu, Jawi telah mengambil tindakan ke atas Siti Kassim terma­suk membuka kertas siasatan dan akan memanggil pihak-pihak yang berkaitan untuk mendapatkan keterangan.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata, peningkatan kos haji pada tahun hadapan ia­itu RM22,450 berpunca daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos operasi yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau mengarahkan kita mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 dan memberikan subsidi RM12,470,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *