30 Maut, Letupan Bom Di Timur Laut Nigeria

ABUJA – Letupan bom oleh pengebom bunuh diri di sebuah masjid di bandar Mubi, timur laut Nigeria pada awal pagi Selasa, menyebabkan 30 orang maut, menurut polis lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap polis, Othman Abubakar berkata kepada pemberita, serangan pada waktu subuh itu, dilakukan seorang remaja tidak dikenali dengan meletupkan jaket berisi bahan letupan yang dipakainya, di sebuah masjid di Kunu Araha.

“Bom diletupkan sejurus selepas solat. Insiden turut mengakibatkan ramai mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di beberapa hospital di utara Mubi,” kata Abubakar.

Beberapa saksi memberitahu Xinhua, kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, tetapi pihak berkuasa keselamatan dan penduduk tempatan mengesyaki ia dilakukan kumpulan pengganas Boko Haram. 

Pada Oktober 2014, bandar Mubi ditawan Boko Haram, tidak sampai sebulan pasukan kerajaan menakluki semula bandar berkenaan.

Serangan pada awal pagi Selasa itu, adalah yang pertama sejak bandar tersebut dikuasai semula kerajaan, sejak tiga tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *