Umat Islam Perlu Perangi Keganasan dan Ekstremisme – PM

KUCHING ― Malaysia menyeru negara Islam agar terus memberi komitmen dalam menangani keganasan, ekstremisme dan memerangi Daesh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kepada kematian dan kemusnahan yang masih berterusan di Iraq dan Syria, serangan Daesh di Marawi, Filipina dan tragedi kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar.

“Penderitaan dan kekejaman yang berlaku tidak boleh dibiarkan berleluasa.

“Sebagai umat Islam, kita digesa supaya memerangi ketidakadilan dan kejahatan, dan ini adalah tugas suci yang dipertanggungjawabkan kepada kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF), di sini hari ini.

Najib yang juga penaung Yayasan WIEF, berkata negara Islam yang merentasi masyarakat antarabangsa dan Dunia Islam, mempunyai peranan dalam menangani cabaran itu.

Beliau berkata usaha Malaysia membantu menyelesaikan isu Rohingya mula membuahkan hasil.

Perdana menteri juga menjelaskan penasihat negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak Asean ke-31 di Manila baru-baru ini, telah memberikan komitmen untuk mencari penyelesaian krisis di Rakhine.

Pada Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat di Manila, negara terbabit komited untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme melalui perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan undang-undang, katanya.

“Ini adalah usaha yang telah lama Malaysia perjuangkan, dan saya gembira usaha kami untuk memerangi militan Daesh telah diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri mengambil perhatian bahawa kebanyakan dunia Islam kurang membuat pelaburan dalam pendidikan berkualiti, yang menimbulkan cabaran besar bagi ummah.

Beliau berkata sesebuah negara perlu melengkapi generasi muda mereka dengan kemahiran berfikir aras tinggi “supaya mereka berfikiran terbuka, kreatif dan inovatif serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan yang masih lagi belum wujud.”

“Memang, masih ramai lagi orang yang tidak mempunyai akses kepada keperluan asas seperti air, penjagaan kesihatan, malah pendidikan asas.

“(Ini) mengingatkan kita bahawa kita (kerajaan) mesti sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap dasar kita,” katanya.

Bagi Malaysia, Najib berkata negara telah bersedia untuk menghadapi gangguan perubahan terhadap keamanan dan kestabilan yang sedang dinikmatinya dan disokong perancangan jangka panjang kerajaan, khususnya usaha yang akan dilakukan di bawah program inisiatif strategik Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan kerajaan memberi tumpuan khas terhadap inovasi dan kreativiti. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *