PAN Harap Isu Anak Husam Miliki 200 Biji Pil Kuda Selesai Cara Baik

KUALA LUMPUR – Amanah menyerahkan sepenuhya kepada pihak berkuasa dan mahkamah dalam menentukan nasib anak Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang ditangkap polis Ahad lalu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata Amanah masih menunggu laporan penuh dan berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.

“Kita tidak ada masalah dan kita serahkan pada pengadilan. Kita harap ianya diselesaikan dengan cara baik.

“Jika nak bawa ke mahkamah, kita akan melalui perundangan yang paling baik,” katanya dipetik portal FMT.

Ahad lalu, anak Husam, Ahmad Syafi dilaporkan ditahan polis kerana memiliki 200 biji pil kuda.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik berkata suspek berusia 29 tahun ditahan di depan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, Ahad lalu.

Beliau berkata, berlaku pergelutan antara sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dengan suspek sebelum dia ditahan.

Ahmad Syafi dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Husam dalam reaksinya juga mengakui individu tersebut sememangnya adalah anak beliau, namun berkata pihak polis masih belum memaklumkan mengenai penangkapan tersebut kepada dirinya.

Husam dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan penuh selepas mendapat maklumat penuh daripada polis dan dibenarkan menemui anaknya. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *