Lan Mahu Kembang Kerjaya Sebagai Penyanyi Solo

KUALA LUMPUR: Vokalis Kristal, Lan, berhajat untuk berehat seketika daripada kumpulan rock itu bagi mengembangkan kerjaya seninya sebagai penyanyi solo.

Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yusof berkata, hasrat itu timbul sejak awal tahun ini bagi mencabar diri keluar dari zon selesa selain mencuba pelbagai genre muzik.

“Saya pernah meluahkan hasrat untuk berehat seketika daripada kumpulan Kristal, walaupun secara bergurau. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan dibuat secara tiba-tiba.

“Tempoh 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak mahu selesa menyanyikan lagu berentak rock semata-mata, sebaliknya ingin berekperimentasi untuk kebaikan kerjaya saya juga.

“Keputusan itu juga bukanlah diambil setelah saya menyertai program Gegar Vaganza (GV), sebaliknya ia sudah berlegar-legar di fikiran sejak awal tahun lagi,” katanya kepada BH Online.

Pada pertandingan berkenaan, beliau antara penyanyi yang memberikan persembahan konsisten, malah juri tetap, Datuk Ramli MS, menganggap dirinya paling banyak menunjukkan peningkatan sejak program itu berlangsung.

Pada konsert keempat malam tadi, Lan menyampaikan lagu Naluri Cinta bersama rakan baiknya, Siti Nordiana.

Lan mengakui bukan mudah untuk mengubah tanggapan imej dan label tertentu yang diberikan terhadap dirinya sejak dulu.

“Saya bersyukur apabila usaha dan inisiatif untuk menampilkan sesuatu yang berbeza mendapat pujian daripada Tok Ram (Ramli) kerana seperti kita sedia maklum, beliau begitu teliti dengan segala segi.

“Saya cuba menonjolkan kelainan saban minggu kerana jujur saya akui, bukan mudah untuk menangkis imej rock yang sudah sebati dengan diri ini. Maklumlah, saya bertapak dalam industri muzik menerusi genre terbabit,” kata Lan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *