Jawatankuasa Khas Banteras Jenayah Siber

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu berkata ia perlu agar tindakan penguatkuasaan kesalahan jenayah siber seperti siasatan dan pendakwaan dapat diselaraskan di bawah satu jawatankuasa serta boleh dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri.

“Pada masa ini, tidak ada satu agensi khusus yang menerajui penguatkuasaan berhubung isu jenayah siber,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Jenayah Siber di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya penubuhan jawatankuasa khas itu telah dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Kabinet 3 November lepas.

Salleh berkata mesyuarat hari ini turut meluluskan fungsi-fungsi bagi Jawatankuasa Khas Jenayah Siber termasuk menjadi ‘focal point’ kepada Jemaah Menteri dalam urusan berkaitan jenayah siber, memberikan khidmat nasihat berkaitan dasar serta strategi menangani dan membanteras jenayah siber kepada Jemaah Menteri.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)

Selain itu, katanya ia bagi memastikan perkongsian maklumat yang efisien di antara agensi penguatkuasaan, mengoptimumkan pelbagai sumber terutama kepakaran di antara agensi penguatkuasaan, mengkaji keperluan menilai semula undang-undang sedia ada bagi menentukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan sesuai dengan perubahan teknologi maklumat; dan menyediakan laporan jawatankuasa untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Mesyuarat juga bersetuju bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bertindak yang diterajui NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara) bagi membincangkan perkara-perkara untuk diputuskan pada peringkat jawatankuasa khas,” katanya.

Salleh berkata Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial akan digabungkan dengan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber memandangkan kedua-dua jawatan kuasa itu mempunyai tugas dan tanggungjawab yang hampir sama.

image: https://i.malaysiakini.com/556/dc7479795688189bc3ab3e3e4f8faa6c.jpg

Beliau berkata anggota bagi jawatan kuasa khas berkenaan terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Anggota jawatankuasa tambahan terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menurut kenyataan itu, SKMM telah menerima sebanyak 1,792 aduan pada Januari sehingga September tahun ini berbanding 804 aduan awam diterima dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ini termasuk aduan melibatkan gangguan buli, gangguan seksual, ancaman, tindakan menakut-nakutkan serta penyalahgunaan maklumat, butiran atau gambar peribadi bagi tujuan penganiayaan dan untuk memalukan individu tertentu.

Selain itu, SKMM menerima sebanyak 2,047 aduan berkaitan ancaman kepada rangkaian pada Januari hingga Ogos lalu, menurutnya.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *