Imbau Kenangan Bersama SM Salim

Berada di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang serba indah dan gah itu, Datuk Ramli Sarip mengimbau semula kenangannya merakamkan lagu irama tradisional bersama Allahyarham Tan Sri S M Salim berjudul Lagu Zaman.

Ramli, 65, berkata, ketika itu dia amat meminati lagu rock dan pop. Jadi, apabila dia perlu merakamkan lagu irama Melayu, sukar jugalah untuknya melenggokkan lagu itu.

“Namun, dapatlah juga saya ‘melagukannya’ dengan betul. Sebenarnya kami berdua saling teruja dengan genre lagu yang kami bawakan dan berpeluang merakamkan lagu dengan arwah adalah kenangan paling manis,” katanya.

Ramli ditemui ketika dia tampil menjayakan Konsert Tanah Airku di DFP yang menyaksikan kerjasama antara Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia ( Malaysian Philharmonic Youth Orchestra, MPYO) dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bagi meneruskan ulangtahun ke-10 konsert terbabit.

Penampilan Ramli cukup menghangatkan suasana dalam DFP dengan suara serak-serak basahnya menerusi lagu Kamelia, Teratai, Kau Yang Satu dan Syair Laila Majnun.

Ini kali ketiga Ramli tampil di pentas DFP selepas menjadi penyanyi undangan untuk konsert Khadijah Ibrahim pada 2008 dan konsert solonya pada 2010.

RAMLI berduet bersama Norihan.
Turut bersama membuat persembahan pada konsert itu ialah Norihan Saif.

Irama lain yang berkumandang membuai perasaan penonton ialah lagu tradisional dan rakyat seperti Sri Mersing, Laksaman Raja Di Laut, Joget Irish For Sitar, Dialog Cak Lempong, Pantun Budi dan Serampang Laut.

Konsert itu dipimpin Ahmad Muriz Che Rose (MPYO) dan Mohd Yazid Zakaria (OTM).

Konsert itu berlangsung dua hari, Jumaat dan Sabtu lalu apabila konsert itu adalah kerjasama kedua MPYO dan OTM. Kerjasama pertama mereka pada 2014 di Johor Bahru.

Sebelum ini, MPYO pernah bekerjasama dengan Yayasan Warisan Johor, Hong Kong Children’s Symphony Orchestra dan Queensland Youth Symphony Orchestra.

Semua kerjasama itu memantapkan kemahiran dan kepelbagaian MPYO ke tahap yang lebih tinggi, orkestra bertenaga dan bersemangat.

Dengan ahli berjumlah 98 pemuzik, penubuhan MPYO bertujuan memupuk dan menggalakkan pemuzik remaja terhadap minat mereka dalam seni dan menggabungkan mereka dalam ensembel yang bertaraf tinggi. Sepanjang penubuhannya yang singkat, MPYO menjelajah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Singapura dan Brisbane, Austrailia.

Penubuhan OTM pula adalah usaha berterusan Kementerian Pelancongan & Kebudayaan melalui Istana Budaya bagi menstrukturkan semula ahli muzik tradisional dan menjadikan kepelbagaian peralatan muzik tradisional Malaysia ke taraf professional dan antarabangsa.

Orkestra itu juga dilihat sebagai pemangkin revolusi muzik Malaysia abad ke-21 berteraskan muzik pelbagai kaum dan etnik. Gabungan ini menjadi satu landasan untuk penyatuan rakyat Malaysia.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *