Bung Mokhtar Sakit Hati ‘Kena Raba’ Di Lapangan Terbang

KUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan hari ini meluahkan rasa tidak puas hati di Dewan Rakyat apabila mendakwa sering ‘diraba’ ketika melalui mesin pengimbas di lapangan terbang di negara ini.

Luahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) itu menimbulkan suasana lucu dan menggamatkan Dewan, termasuk wakil rakyat pembangkang.

Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), berkata mesin pengimbas di lapangan terbang dalam negara terlalu sensitif termasuk kepada aksesori pakaian seperti zip dan butang besi.

Katanya, berbeza dengan negara lain termasuk Kemboja yang memiliki mesin pengimbas lebih berkualiti yang hanya mengimbas barang larangan.

“Zip seluar lalu pun berbunyi, butang besi lalu pun berbunyi, sedangkan yang kita cari adalah benda yang benar-benar tajam dan tidak diingini.

“Asal ada besi, dia bunyi, lepas bunyi kena rabalah. Di Eropah dan Singapura, mesin pengimbas hanya sensitif kepada benda yang tidak diingini.

“Mereka (pihak keselamatan lapangan terbang) kata mesin pengimbas di tempat kita paling murah dalam dunia sedangkan lapangan terbang kita harga berbilion ringgit.

“Di Kemboja, mereka negara miskin tetapi lapangan terbang mereka ada mesin kelas pertama, tidak pernah raba-raba sebab tidak berbunyi.

“Di tempat kita berbunyi terus, saya sudah banyak kali kena raba, saya betul sakit hati kena raba, kadang-kadang benda sulit kita pun diraba, saya kata jangan raba… saya tidak tahu bila kita boleh berhenti raba-raba, mana boleh raba sana, raba sini, bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berharap kementerian berkaitan dapat melihat isu itu dengan lebih serius dan belajar daripada negara membangun dan sedang membangun bagi mengelak lebih ramai penumpang terpaksa melalui pengalaman sepertinya.

“Berhentilah raba-raba, bagi mesin pengimbas berkualiti, hanya berbunyi jika ada bawa benda tajam, pistol, dadah… ini tidak, semua benda lalu, ia berbunyi, berhentilah raba-raba,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta kerajaan menangguhkan sementara kenaikan caj perkhidmatan penumpang (PSC) daripada RM50 kepada RM73 serta caj levi baharu RM1 yang berkuatkuasa, 1 Januari depan berikutan ketidaktentuan ekonomi.

“Mohon kementerian menangguhkan sementara kenaikan PSC dan caj levi RM1, jika ekonomi baik sedikit, kita pertimbangkan semula… kenapa perlu ada pertambahan kos ketika ini, rakyat susah.

“Walaupun caj levi RM1 kepada pengguna penerbangan tambang murah khususnya akan merasai kesusahan itu. RM1 boleh beli dua bungkus nasi lemak, jika satu keluarga ada enam orang anak, berapa bungkus nasi lemak yang mereka kena beli.

“Satu lagi, apa guna Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), MOT boleh buat kerja sendiri, ada DCA (Jabatan Penerbangan Awam), ada MAB (Malaysia Airports Holding Berhad),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *