Bekas Pensyarah Pengsan, Mini Cooper S Dilarikan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) cedera manakala kenderaan jenis Mini Cooper S miliknya dilarikan penjenayah dalam kejadian samun di Jalan 3/6 Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, wanita berusia 67 tahun terbabit ditemukan terbaring di tepi jalan oleh seorang jiran dengan kesan cedera di muka dan belakang kanan kepala, lapor Utusan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya namun dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan tidak dipastikan semasa tiba di simpang berhampiran kediamannya.

Menurutnya, tiba-tiba muka mangsa telah terhantuk kepada stereng kereta dan terus tidak sedarkan diri sebelum ditemukan oleh jirannya di tepi jalan.

“Mangsa dihantar ke sebuah hospital swasta berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan susulan.

“Bagaimanapun, mangsa masih tidak mengingati jenis senjata digunakan atau kejadian yang menimpanya dan hanya menyedari kenderaan serta beberapa barangan peribadi dilarikan penjenayah selepas dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sabri, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *