Video: Buktikan Mahathir Tak ‘Songlap’ RM100 Bilion Masa Jadi PM – Sara Petra

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi digesa untuk mendedahkan punca kekayaan beliau dan ahli keluarganya yang dikatakan bernilai ratusan bilion ringgit.

Penganalisis politik, Raja Sara Petra berkata, sepertimana Dr Mahathir menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan tidak mencuri wang 1MDB, bekas Perdana Menteri itu juga perlu menjelaskan dari mana punca kekayaan beliau dan ahli keluarganya.

“Mula-mula Mahathir kena jelaskan bagaimana beliau dan keluarganya menjadi billionaire.

“Adakah benar bahawa Mahathir telah menyebabkan kerugian RM100 bilion seperti yang didakwa orang ramai? Jika tidak benar, maka Mahathir perlu buktikannya. Sepertimana beliau meminta Najib membuktikan beliau tidak mencuri duit 1MDB,” ujarnya.

Isu kekayaan Dr Mahathir juga pernah disebutkan oleh Ahli Majlis Tertiggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini ekoran penularan foto kehidupan mewah cucu-cucunya bak selebriti.

Kata Nazri, Dr Mahathir dan anak-anaknya perlu mengisytiharkan harta bagi mengelak sebarang keraguan berhubung punca kekayaan mereka.

“Isytihar mana datang sumber kekayaan itu. Tiba-tiba sahaja Dr Mahathir pencen, anak-anak kaya dan difahamkan masing-masing mempunyai tidak kurang RM100 juta…saya dengarlah. Anak dia kena beritahulah,” katanya lagi.

Jelas Sara Petra, segala dakwaan dinyatakan Dr Mahathir menuduh Najib mencuri wang pembayar cukai, mencabuli hak asasi manusia, menipu semasa pilihan raya adalah tuduhan sama dilemparkan pembangkang sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Mahathir nampaknya sudah lupa apa yang beliau pernah katakan dan lakukan semasa beliau menjadi PM. Sangat memalukan apabila beliau berkata bermacam-macam mengenai PM Najib dimana beliau lebih teruk semasa menjadi PM.

“Lebih banyak dia cakap, lebih banyak beliau merendahkan Pakatan Harapan sehingga ke peringkat badut sarkas,” tegasnya.

Tambahnya lagi, semakin banyak Dr Mahathir mengkritik Najib, semakin banyak kesilapannya terjejas lantas menjauhkan lagi peluang Pakatan Harapan yang dipengerusikannya kini untuk menawan pemerintahan di Putrajaya.

“Setiap kenyataan oleh Mahathir menambah satu lagi paku kepada keranda Pakatan.

Dengan Mahathir berkempen untuk pakatan, Barisan Nasional (BN) tidak perlu berbuat apa-apa. Apa yang pakatan perlu lakukan hanyalah duduk santai dan lihat Mahathir hancurkan Pakatan,” ujarnya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *