Usaha Mencari Kapal Selam Argentina Dipergiatkan

BUENOS AIRES – Tentera laut Argentina meneruskan koordinasi dengan sekutu antarabangsa untuk mencari kapal selamnya yang hilang Rabu lepas bersama-sama 44 anak kapal di selatan Atlantik.

Menteri Pertahanan Argentina, Oscar Aguard, pada Sabtu mengesahkan bahawa misi pencarian kapal selam ARA San Juan disertai kerajaan Chile, Brazil, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Colombia, Uruguay serta Peru, manakala beberapa negara lain turut menawarkan bantuan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat.

Kali terakhir kapal selam itu berkomunikasi ialah pada pagi Rabu, dan apabila ia terputus hubungan pada hari yang sama, misi pencarian telah dilancarkan pada pagi Khamis dan masih berjalan.

Perintah Selatan AS pada Ahad telah menghantar pesawat kedua untuk membantu operasi pencarian, iaitu P-8A Poseidon yang dikenali sebagai pemburu kapal selam atau antikapal selam dengan 21 kru dari Jacksonville, Florida.

Terdahulu, Perintah Selatan AS telah menghantar sebuah pesawat peninjau P-3 milik NASA.

“Kami kini berhubungan dengan keluarga kru kapal selam itu… untuk memaklumkan dan menyokong mereka. Kami berkongsi kebimbangan mereka serta seluruh rakyat Argentina,” kata Presiden Argentina Mauricio Macri dalam akaun Twitter rasmi beliau.

Kapal buatan Jerman yang menggunakan minyak diesel itu telah belayar pada Isnin dari pelabuhan selatan Ushuaia menuju ke pangkalannya di Mar del Plata, yang terletak di utara wilayah Buenos Aires.

Menteri Pertahanan itu pada malam Sabtu berkata kedudukan terakhir ARA San Juan ialah di Teluk San Jorge, kira-kira 240 batu nautika (432 kilometer) dari kawasan pantai.

Tentera laut Argentina pada Sabtu telah mengesan tujuh panggilan satelit dari kapal selam itu yang dibuat kepada pangkalan tentera laut berbeza, namun kesemuanya “gagal mewujudkan komunikasi.”

Meskipun kesemua panggilan gagal berkomunikasi dengan pangkalan tentera laut terbabit, kementerian pertahanan berkata ia menunjukkan bahawa kru kapal selam itu masih cuba untuk berhubung.

“Dengan kerjasama sebuah syarikat AS yang mengkhusus dalam komunikasi satelit, kami kini berusaha menentukan lokasi sebenar pemancar isyarat tersebut, dengan andaian ia mungkin dari kapal selam yang membawa 44 kru itu,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

Semua stesen komunikasi daratan yang terletak di sepanjang pantai Argentina telah diarah mencari komunikasi terbabit dan mendengar semua frekuensi transmisi kapal selam itu dalam usaha untuk menghubunginya.

Keadaan cuaca di rantau itu telah menyulitkan pencarian, yang menyaksikan ombak setinggi enam hingga lapan meter (20 hingga 26 kaki) baru-baru ini, kata seorang jurucakap. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *