Suspek Bergelut Secara Agresif Sebelum Berjaya Ditahan – Polis

KOTA BHARU — Anak Datuk Husam Musa “bergelut agresif” dengan pasukan polis sebelum ditahan kes pil kuda kelmarin, kata ketua polis Kota Bharu.

ACP Ismail Mat Sidik berkata pemuda itu ditahan sewaktu polis membuat pemerhatian lima minit di depan sebuah rumah di Kampung Jelutong di sini.

“Pasukan kita memperkenalkan diri sebagai polis sebaik pemuda itu muncul di lokasi pemerhatian,” katanya seperti dilapor Kosmo!

“Bagaimanapun lelaki itu bertindak melarikan diri ke tepi rumah di kawasan itu tetapi dia terjatuh.”

Polis juga menunjukkan kad kuasa sebelum menahan pemuda 29 tahun itu.

“Anggota polis terpaksa bergelut dengan lelaki itu yang terus melawan dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan hendak dilakukan,” kata Ismail.

Tambahnya, anggota polis memeriksa suspek dan menemui balutan tisu putih iaitu sepaket berisi 198 pil merah dan dua biji pil hijau disyaki dadah.

“Bungkusan itu ditemui dalam poket seluar depan sebelah kanan yang dipakai pemuda berkenaan,” katanya. Berat semua dadah itu 20 gram.

Suspek itu, berkelulusan universiti telah berkahwin tetapi tidak bekerja, direman empat hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret Kota Baru.

Kedua dari tujuh beradik, anak Husam itu disiasat bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya. Jika sabit, dipenjara lima tahun dan sebatan.

Semalam Husam, naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah), mengakui anaknya Ahmad Syafi ditahan tetapi polis belum memaklumkan kes itu kepadanya.

“Saya juga tidak diberitahu sehingga kini [Ahad] di mana anak saya ditahan,” coret wakil rakyat Salor di Facebooknya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *