Pemimpin Ajaran Sesat Paling `Brutal’ Meninggal Dunia Pada Usia 83 Tahun

Dalang kes bunuh beramai-ramai, Charles Manson yang menjalani hukuman penjara sejak 1969 telah meninggal dunia pada usia 83 tahun selepas seminggu dimasukkan ke hospital.

Manson juga dikenal sebagai ketua pemujaan yang mengarahkan pengikutnya untuk melakukan pembunuhan.

Berita berkenaan disahkan oleh adik kepada salah seorang mangsa, Debra Tate kepada portal TMZ selepas dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kematian Manson.

Debra adalah adik kepada aktres Sharon Tate, yang meninggal dunia selepas dibunuh oleh pengikut Manson, ketika dia sedang sarat mengandung.

“Ia mungkin pengakhiran kepada satu era atau hanya permulaan,” kata Debra. Maklumat mengenai kematian Manson juga disahkan oleh jabatan penjara California yang menyebut Manson meninggal dunia pada 8.13 malam Ahad.

Charles Manson ditangkap pada 1969.

Awal minggu ini, Manson dilaporkan uzur dan dirawat di hospital. Pada Januari lalu, dia dikejarkan ke Hospital kerana mengalami pendarahan usus. Doktor mahu membedahnya serta merta namun ditolak oleh Manson.

Manson dipenjarakan sejak 1969 selepas dia mengarahkan pengikut supaya melakukan pembunuhan dalam masa dua hari.

Mangsa pembunuhan pengikut Manson

Tiga pengikutnya Susan Atkins, Patricia Krenwinkle dan Leslie Van Houten telah membunuh tujuh orang iaitu Sharon Tate, Abigail Folger, Wojciech Frykowski, Leno dan Rosemary LaBianca, Steven Parent serta Jay Sebring.

Ketika itu, Sharon sedang mengandung lapan bulan manakala tiga rakannya berada di rumahnya di Beverly Hills.

Manson, tidak berada di tempat kejadian tetapi mengarahkan pembunuhan terbabit. Dia memohon parol pada 2012 namun permohonan itu ditolak. Tahun ini Manson sekali lagi memohon mendapatkan parol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *