Marcote Pilihan Utama

Bekas jurulatih Kedah, Ramon Marcote kini menjadi calon pilihan untuk membimbing skuad Helang Merah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat mereka membawa masuk bekas pengendali kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.

Sebelum ini, KFA ada mengadakan perbincangan berhubung tawaran kontrak yang sudah dipersetujui oleh Gomez, namun pihak pengurusan skuad juara Piala FA itu akhirnya mengubah keputusan, lapor Metro.

“Saya tidak akan membimbing Kedah, mereka sudah memilih jurulatih lain. Mereka sudah menghubungi saya dan memaklumkan keputusan itu,” katanya ketika dihubungi di Argentina.

Gomez, 60, sebelum Ini mendapat perhatian KFA atas pencapaiannya bersama JDT selama dua tahun, dengan merangkul Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah dipercayai ada kaitan dengan faktor kegagalan Kedah beraksi di saingan Piala AFC tahun depan.

Tambahan pula, seorang lagi calon, Marcote memiliki kelebihan tersendiri apabila mendapat sokongan pihak penaja dan amat disenangi penyokong Helang Merah.

Marcote menyertai Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada Januari 2015 dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih ketika Tan Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan lesen A di China.

Ketika itu, Marcote berjaya membimbing Kedah ke saingan final Piala Malaysia 2015, namun tewas 0-2 kepada Selangor.

Bagaimanapun selain jurulatih kelahiran Sepanyol itu, KFA juga dikhabarkan mempunyai seorang lagi calon dari Brazil yang sehingga kini belum didedahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *