Khadijah Tiada Masalah Dengan Produksi Gegar Vaganza

KUALA LUMPUR – Semenjak program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-4 disiarkan akhir bulan Oktober lalu, ramai tertanya-tanya ke mana hilangnya kelibat penghibur ternama, Datuk Khadijah Ibrahim yang tidak lagi menduduki kerusi juri tetap.

Ada yang tertanya-tanya apakah Khadijah atau lebih mesra dikenali sebagai Khaty mempunyai masalah dengan produksi GV sehingga tempatnya diganti oleh biduanita dari seberang, Hetty Koes Endang.

Sebetulnya, baik Khaty mahupun produksi Astro tidak pernah mempunyai sebarang masalah sesama mereka.

Sebaliknya, Khaty memberitahu, beliau difahamkan oleh produksi Astro, pelantikan Hetty menggantikannya sebagai juri kerana mahu meluaskan pengaruh program GV ke pasaran Indonesia.

Selain kerana terdapat seorang peserta yang berasal dari negara itu, Firman, GV juga bakal menjadi platform untuk penaja utama program itu, Que Puteh yang diasaskan oleh usahawan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida mengembangkan empayar perniagaannya di sana.

“Saya difahamkan, Datuk Seri Vida ingin mengembangkan perniagaan ke Indonesia.

“Dari situ saya faham kenapa beliau dan pasukan produksi memilih salah seorang juri dari negara jiran kita iaitu Hetty Koes Endang.

“Kami semua memang tidak ada sebarang masalah atau selisih faham. Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh semua pihak yang terlibat dalam program tersebut, “ ujar Khaty kepada Utusan Online

Sekalipun tidak bersama dalam produksi GV4 kali ini, penghibur yang sangat masyhur dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu masih setia memberi sokongan pada program itu.

Menurut Khaty, GV4 masih kekal releven dan menarik untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat selain membantu perkembangan industri muzik tanah air.

“Bagi saya GV kali ini mempertaruhkan ramai penyanyi yang hebat dan sangat sengit saingannya. Sukar untuk dijangka siapa yang akan menjuarai GV musim ini,” ujarnya lagi.

Antara nama-nama besar industri hiburan yang kini menyahut cabaran dalam pertandingan GV4 ialah Aishah, Liza Hanim, Hazami, Aqasha, Syura dan ramai lagi.

Sementara itu, Khaty berkata, beliau kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert bersama penghibur malar segar, Datuk Ramli Sarip sempena ulang tahun ke-30 lagu Doa Buat Kekasih yang akan diadakan di Singapura.

Selain itu, pemilik Khadijah’s Kitchen ini juga bergelar Smart Partnership untuk produk makanan kesihatan, Navix. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *