Kepala Pelajar Nyaris Digilis Treler

Satu rakaman video yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan detik cemas seorang pelajar sekolah yang nyaris digilis sebuah treler dalam kejadian yang berlaku di hadapan deretan kedai di Hanoi, 3 November lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan semasa kejadian keadaan jalan raya dilihat tidak begitu sesak, hanya beberapa penunggang motosikal dan basikal serta pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian, petik MD.

Tidak lama kemudian kelibat dua pelajar sekolah yang sedang mengayuh basikal dilihat melalui kawasan tersebut.

Melihat sebuah treler datang dari arah bertentangan, kedua-dua pelajar itu cuba mengelak dengan menaiki kaki lima.

Malangnya, salah seorang daripada pelajar sekolah itu hilang kawalan ketika menaiki kaki lima, menyebabkan dia rebah di atas jalan raya, yang mana kedudukan kepala mangsa beberapa sentimeter sahaja daripada tayar hadapan treler itu.

Mujurlah, ketika terjatuh dia sempat menggerakkan tubuhnya, manakala pemandu treler terbabit juga dengan pantas bergerak sedikit ke kiri, menyebabkan ia hanya menggilis beg sandang yang dipakai mangsa.

Seorang wanita yang berdiri di hadapan kedai dilihat segera membantu budak itu dengan menariknya ke bahagian kaki lima, sebelum orang ramai datang mengerumuni mangsa.

Difahamkan, mangsa terselamat daripada kecelakaan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *