‘Kalau Dah Tak Kacak Lagi, Orang Pun Tak Pandang’

KUALA LUMPUR: Tampil dengan imej baharu berambut pendek dan ranggi, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016, Isa Khan lebih suka peminat menilai bakat bukan wajah dan gayanya.

Adik kepada pelakon Miller Khan ini memberitahu, dia bagaimanapun tidak boleh menghalang jika soal paras rupa menjadi faktor dalam meraih populariti.

“Kalau peminat suka dengan rupa paras dan penampilan, saya tidak boleh menghalang.

“Bagaimanapun, cita rasa peminat saya berbeza-beza. Ada yang suka melihat saya berlakon dan ada yang minat dengan nyanyian saya. Biar apapun alasan mereka, saya lebih suka jika mereka minat saya kerana bakat,” katanya kepada BH Online.

Isa yang tampil dengan single pertamanya berjudul Syurga Yang Sempurna terbitan Music Valley Malaysia (MVM) berkata, rupa dan tarikan fizikal hanyalah bersifat sementara.

“Apabila sudah tua nanti, mungkin rupa akan berubah. Tapi jika bakat dan hasil karya saya yang diminati, itu adalah sesuatu yang kekal.

“Namun, biar apa pun, saya tetap bersyukur,” katanya.

Sehubungan itu, Isa atau nama sebenarnya, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 24, menepis dakwaan hanya menjual rupa, bukannya bakat sejak mula terjun dalam bidang seni.

“Mengapa kita nak pertaruhkan sesuatu yang belum tentu ada jaminan. Apa saja boleh berlaku kepada rupa paras saya.

“Seperti yang tegaskan, penampilan fizikal hanyalah bersifat sementara. Seorang anak seni sepatutnya menjual karya.

“Jika ada bakat dan berkualiti, ia akan kekal lama tetapi andai rupa jadi taruhan, esok lusa jika sudah tidak lagi kacak, orang pun tak mahu pandang,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *