Hati-Hati Taktik Rempuh Kereta dan Rompak Mangsa

WANITA warga emas berusia 67 tahun tergamam sebaik kereta dipandu dilarikan penjenayah berhampiran sebuah tadika di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa turut cedera di kepala dan muka sejurus kereta model Mini Cooper S dipandu dirempuh penjenayah terlebih dahulu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, menantu lelaki mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Dia mendakwa ibu mentuanya ditemui terbaring di tepi jalan sebelum dihantar ke pusat perubatan di Bandar Baru Bangi untuk rawatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan tidak dikenal pasti,” katanya.

Suspek kemudian memaksa mangsa keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta itu.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Serdang dan menerima dua jahitan di kepala serta empat jahitan di bahagian mulut. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *