DAP Gesa Firma Audit Hantar Segera Laporan Pemilihan CEC Kepada ROS

PUTRAJAYA – DAP akan menggesa firma audit bebas yang mengendalikan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, Grant Thorton untuk segera menyiapkan laporan dan menghantarnya kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata langkah itu bagi memastikan isu berkenaan tidak akan menjejaskan proses pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang kini berdepan masalah kelulusan oleh RoS.

“Ada 60 hari (untuk siapkan dan hantar laporan), tetapi untuk tak lengah-lengahkan proses pendaftaran PH, parti saya akan minta firma audit segerakan semua laporan dan hantar kepada RoS dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebentar tadi.

Terdahulu Tan menyertai pemimpin PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengetahui status pendaftaran gabungan itu yang masih belum diluluskan RoS.

Dalam pertemuan itu, PH dimaklumkan oleh KSU KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim bahawa kelewatan kelulusan pendaftaran PH adalah berpunca daripada masalah yang membelenggu DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

DAP sebelum ini dibelit masalah pemilihan semula Jawatankuasa Esekutif Pusat (CEC) sementara PPBM berdepan risiko dibubarkan berikutan gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

Dalam pada itu Tan yang juga Ahli Parlimen Cheras berkata, pada ketika ini beliau difahamkan Grant Thornton sedang menyiapkan laporan berkenaan pemilihan CEC itu dan mengharapkan ia akan diselesaikan pada minggu ini.

DAP pada 12 November lalu mengadakan pemilihan semula CEC dengan dikendalikan badan audit bebas, Grant Thornton.

Pemilihan semula itu diadakan atas arahan RoS kerana pertubuhan itu tidak mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *