27 Premis Makanan Kotor Diarah Tutup Sementara

SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengarahkan 27 premis makanan di daerah Seremban yang didapati kotor ditutup dua minggu bermula Rabu lepas.

Pengarahnya Dr Zainudin Mohd Ali berkata arahan penutupan itu dikeluarkan susulan operasi bersepadu premis makanan bersih yang dijalankan di 59 premis makanan kategori restoran di sekitar daerah Seremban pada hari tersebut.

“Arahan penutupan itu adalah di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Sebanyak 147 notis yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 32B akta sama dikeluarkan bernilai RM32,400.

“Seramai 42 orang pegawai kesihatan daerah terlibat dalam operasi sembilan jam itu bermula pukul 9 pagi hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya sehingga September lepas, sebanyak 5,675 premis makanan telah diperiksa dan 125 daripadanya diperintah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Beliau berkata 1,527 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang boleh dikompaun bernilai RM299,650 telah dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dr Zainudin berkata sepanjang tahun 2016 sebanyak 6,358 premis makanan diperiksa dan 124 daripadanya diperintah tutup. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *