Takhta ‘Tandas’ Raja Perancis Dipamer

NEW DELHI – Sebuah takhta diperbuat pada zaman monarki Perancis kini dipamerkan di sebuah muzium di sini sebagai sebahagian daripada usaha untuk membasmi sensitiviti dalam isu berkaitan tandas di India.

Menurut AFP, Replika takhta diperbuat dari kayu dan digunakan Raja Louis XIV itu adalah antara sebahagian tinggalan berharga yang dipamerkan di Muzium Tandas Antarabangsa Sulabh, di pinggir ibu negara, lapor Bh.

Kurator muzium berkata, Raja Perancis berkenaan dipercayai bergelut dengan masalah sembelit dan menggunakan takhta itu untuk membuang air besar sambil pada masa yang sama, menerima kedatangan rakyat.

Muzium berkenaan setiap hari menerima kunjungan ribuan pelawat untuk melihat dari dekat pelbagai bahan bersejarah seperti peti menyimpan tandas berusia ratusan tahun, bekas air kencing dan paip, selain mesin canggih abad ke-21 yang mampu mengubah najis manusia menjadi debu hanya dalam beberapa saat.

Lebih banyak bahan dijadualkan dipamerkan hari ini sempena Hari Tandas Sedunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang diraikan di seluruh dunia.

Pengasas muzium itu dan Pertubuhan Sulabh Antarabangsa, Bindeshwar Pathak berkata muzium itu agak luar biasa dan dipercayai satu-satunya premis seumpama itu di dunia.

“Motif penubuhan muzium itu ialah untuk mewujudkan satu perbualan sihat mengenai tandas dan kebersihan.

“Kami mahu tingkatkan kesedaran orang ramai bahawa tandas bukan satu perkataan menjijikkan,” katanya sambil bermain-main dengan sebiji bola kecil berwarna hitam, diperbuat dari najis manusia kering yang dicampur dengan gam.

Bindeshwar berkata, muzium berkenaan menjadi perhatian ramai selepas disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 muzium paling ganjil di dunia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *