Sisi Baharu Ezlynn

Mencoret kisah penyanyi bernama Ezlynn bagaikan meniti di titian gantung. Penuh debar, namun harus berhati-hati dan disudahi dengan langkah yang semberani.

Bukan mahu menyelongkar kepahitan semalam tetapi sekadar mahu menyusup rasa yang menakung di hatinya selepas lafaz cerai talak satu daripada bekas suami, Adam Fahmy diterima pada 23 Oktober lalu.

Jujur pelantun lagu Hi Hi Bye Bye itu kini berasa lega, namun tersedik rasa ralat perkara tersebut tidak berlaku dua tahun lalu saat dirinya tidak mampu lagi menerima lelaki berkenaan sebagai suami selepas kepercayaan menggunung yang disua ditarah rakus tanpa peduli.

“Dia masih suami merangkap pengurus saya ketika itu tetapi dia tak membantu langsung kerjaya seni saya. Sampaikan apabila saya tak ada duit terpaksa minta pada keluarga. Walaupun saya tak cerita masalah tetapi famili tertanya-tanya kenapa tak ada duit sedangkan dia boleh pergi bercuti dan muat naik gambar percutian bersama wanita di Instagram.

“Jujur saya tahu fasal gambar itu melalui famili kerana sudah dua tahun dia menghalang saya daripada mengakses laman sosialnya,” ujar Ezlynn yang bergenang juga air mata di kelopak saat mengenang hidup bagaikan gantung tak bertali selama dua tahun sebelum dia memutuskan untuk bertindak agresif memohon perceraian yang tidak diendahkan selama tempoh itu.

Serik dengan lelaki

Tidak lagi mengizinkan hatinya diketuk oleh mana-mana lelaki, Ezlynn juga mengaku serik untuk mengenali lelaki dan berkahwin lagi.

Malah, kelembutan hati yang menatang karakternya selama ini terhakis nipis. Yang tinggal hanya ruang hati yang dipenuhi kata-kata penolakan.

“Memang ada lelaki yang cuba mendekati, tetapi saya serik untuk mengenali apatah lagi untuk berkahwin lagi. Saya sudah mentally broken. Saya jadi tidak percaya pada semua lelaki. Pun begitu, saya akui ada lelaki yang baik dan jujur, namun hati saya masih menolak,” luahnya yang menyifatkan kata-katanya itu (serik) bukan untuk selama-lamanya kerana dia terlalu menginginkan anak sebelum berusia 40 tahun.

Bagi penyanyi berusia 36 tahun itu, selama enam tahun berkahwin dengan Adam dia tiada rezeki anak waima dirinya tidak dibelenggu masalah kesuburan.

“Selama tempoh enam tahun berkahwin saya nak sangat ada anak. Sebaliknya, dia tidak mahu. Malah, dengan yakinnya dia cakap kita tidak akan ada anak. Dalam hati saya berdetak jahat dengan kata-katanya itu. Adakah dia melakukan sesuatu agar mereka tidak akan mempunyai anak? Namun, kata-kata itu hanya meraung di dalam hati. Tidak sehingga disuarakan kepada dia,” tuturnya sayu.

Mengaku dirinya seorang yang mengikut tanpa bantah jauh dari karakter luaran yang ditebak ramai seolah-olah garang dan lantang, pesan Ezlynn kepada wanita, haruslah ada pendirian diri agar tidak mudah dimanipulasi lelaki.

Hanya tinggal rumah

Untuk langkah seterusnya, pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu harus bertatih kembali mencorak karier seninya.

Dia juga bersyukur kerana banyak menerima tawaran berlakon dan mengacara majlis, bahkan bakal muncul menerusi single terbaharu pada tahun ini.

“Alhamdulillah, di kala tidak berduit, hanya tinggal rumah semata-mata, Allah datangkan rezeki kepada saya. Selama saya bekerja 11 tahun dan dia (Adam) menguruskan kerjaya seni, saya cuma ada rumah sahaja atas nama saya. Dia ambil segala-galanya. Ini kerana, dia yang menguruskan kewangan saya,” jelasnya yang bersyukur kerana mendapat khidmat nasihat mereka yang lebih berpengalaman, termasuk daripada pihak Indigital Music.

Berkongsi mengenai single terbaharunya, kata Ezlynn, single terbaharunya itu berbeza daripada lagu Hi Hi Bye Bye. Malah, ia juga menampilkan sisi baharu penyanyi lagu Sengsara itu.

“Boleh dikatakan ia nafas baharu daripada Ezlynn. Lagu tersebut berentak sederhana bukan seperti lagu-lagu saya sebelum ini yang kebanyakannya berentak rancak,” ujarnya.

Selain itu, dia juga menerima banyak tawaran mengacara majlis dan juga berlakon drama 30 Juzuk Cinta di samping pelakon Betty Banafe.

Kali terakhir, ada beberapa telemovie sepanjang Ramadan yang dijayakan Ezlynn, namun paling memberi kesan ialah lakonannya menerusi filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di bawah arahan pengarah prolifik Mamat Khalid.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *